Rabu, 23 Mei 2012

Nazmi Faiz membuatkan rakyat Malaysia bangga

Assalamualaikum dan salam sejahtera

Pada hari ini sejarah baru bolasepak Malaysia tercipta lagi kali ini oleh seorang pemain yang hanya baru berusia 17 tahun. Beliau ialah Nazmi Faiz Mansor yang telah berjaya menambat hati panel pemilihan pasukan Liga Primeira iaitu SC Beira Mar. Nazmi telah ditawarkan kontrak selama 3 tahun iaitu sehingga 2015 oleh pasukan tersebut. Kontrak ini hanya ditandatangani apabila Nazmi genap berusia 18 tahun pada Ogos ini.
Darisudutpandang mengucapkan tahniah dan syabas buat Nazmi Faiz kerana telah berjaya membuktikan bahawa apalah ada pada saiz dan bentuk badan jika skil dan teknik adalah setanding dengan pemain luar. Kita selama ini disogokkan oleh kenyataan bahawa pemain kita tidak akan berjaya terpilih untuk bermain diluar kerana saiz badan kita yang rendah berbanding dengan pemain luar negara yang rata-ratanya berbadan tinggi dan tegap. Kita jangan lupa bahawa ramai pemain dari benua Amerika bukanlah berbadan besar tapi dipentas dunia bolasepak mereka berjaya mencipta nama. Antara pemain tersebut adalah Roberto Carlos, Diego Maradona (pemain terbaik sepanjang zaman FIFA) dan yang terbaru Lionel Messi. Mereka berjaya bukan dilihat dan diukur dari bentuk dan saiz badan tetapi adalah keupayaan skil dan teknik yang dimiliki.
Nazmi Faiz dan yang terdahulu Safee Sali telah membuktikan bahawa pemain Malaysia juga mampu untuk bermain bolasepak di luar jika peluang untuk mengembangkan bakat diberikan. Ini membuktikan latihan dan pendedahan bermain di Slovakia adalah keputusan yang tepat dan sekaligus mengenepikan tanggapan sesetengah pihak bahawa ianya satu pembaziran. Selain Nazmi Faiz, nama Wan Zack Haikal dan Irfan Fazail juga disebut-sebut akan menghadiri pemilihan untuk sebuah kelab dari Jepun. Diharapkan selepas Safee Sali dan terkini Nazmi Faiz semakin ramai pemain kita akan diintai oleh pasukan lain untuk bermain diluar negara.

Jika Nazmi Faiz berjaya menempatkan diri untuk bermain sebagai kesebelasan utama dengan SC Beira Mar pada satu hari nanti, darisudutpandang percaya makin ramai anak-anak muda yang pasti bercita-cita untuk menjejaki langkah Nazmi Faiz ini. Banggakan negara, ParabĂ©ns e boa sorte, Nazmi

Ahad, 20 Mei 2012

Annuar Musa, Red Warrior dan industri sukan

Assalamualaikum dan salam sejahtera

Sebelum terlambat aku nak ucapkan tahniah buat pasukan Kelantan (the Red Warrior) yang telah memenangi piala FA setelah berjaya mengalahkan pasukan berstatus kelab iaitu Sime Darby semalam.
Sebenarnya aku amat kagum dengan pasukan Kelantan yang juga dikenali dengan panggilan Red Warrior ini yang sentiasa konsisten dalam setiap perlawanan yang mana pada tahun ini juga berjaya muncul untuk tahun yang kedua diperlawanan akhir piala FA (pada tahun lepas muncul sebagai naib johan setelah kalah dengan pasukan Terengganu). Sebagai makluman juga bahawa pasukan Kelantan sehingga setakat ini berada di kedudukan kedua selepas Lions XII di dalam Liga Super dan juga telah melayakkan diri ke pusingan kedua Piala AFC.

Sebenarnya aku tidaklah mahu berbicara banyak tentang Red Warrior ini tetapi apa yang aku ingin sentuh adalah orang disebalik kejayaan Red Warrior ini dan orang tersebut adalah Tan Sri Annuar Musa yang juga bekas Presiden KAFA yang juga bekas Timbalan Presiden FAM (Tan Sri dikenakan hukuman selama 2 tahun dan 6 bulan (30 bulan) kerana mengkritik pasukan bolasepak Kebangsaan).
Aku sebenarnya agak kagum dengan cara pentadbiran Tan Sri Anuar Musa semasa beliau menjadi presiden KAFA yang mana beliau telah menukar hampir 100 peratus corak pentadbiran KAFA iaitu daripada Persatuan Bolasepak Kelantan yang memerlukan hampir 100 peratus dana bantuan daripada Kerajaan Negeri ke arah sebuah persatuan yang menjana keuntungan daripada jualan berbagai barangan yang berasaskan bolasepak seperti baju 'the Red Warrior', bendera dan sebagainya.

Prestasi yang konsisten yang ditunjukkan oleh pasukan bolasepak negeri maka KAFA tidak menghadapi masalah untuk mengumpulkan para peminat dan penyokong dibelakangnya. Jika kita melihat setiap kali pasukan negeri ini beraksi pasti stadium akan hampir penuh dibanjiri dengan lautan merah yang menjadi 'trademark' bagi pasukan negeri Kelantan ini baik jika mereka bermain di Stadium Sultan Muhammad atau di tempat lawan dan ini pastinya memberi sedikit kelebihan kepada mereka dari segi kutipan tiket.

Tan Sri Annuar telah dapat melihat bahawa sukan sebagai suatu industri yang boleh membawa keuntungan yang berlipat kali ganda sepertimana yang telah menjadi tagline di Kementerian Belia dan Sukan yang diilhamkan oleh Menterinya iaitu Dato' Sri Ahmad Shabery Cheek. Sukan jika diuruskan dengan baik dan diterajui oleh pemimpin yang kreatif pasti ianya akan dapat menjana keuntungan lebih-lebih lagi sukan bolasepak yang menjadi sukan nombor satu negara.

Jika kita lihat sekarang ini dibaju pemain hampir penuh nama-nama penaja yang menaja pasukan 'the Red Warrior' ini terdapat lapan penaja yang menaja pasukan Kelantan ini iaitu dari Syarikat Telekomunikasi, Happy hinggalah kepada Universiti Masterskill dan penaja-penaja yang lain.

Kebanyakan pasukan bolasepak negeri selain daripada Kelantan masih lagi memerlukan bantuan dana dari kerajaan negeri bagi membiayai gaji dan perjalanan pemain. Aku difahamkan yang setiap pasukan yang bertanding perlu mengeluarkan geran sebanyak RM3 juta sebagai pembiayaan pasukan dan duit tersebut kebanyakannya datang dari kerajaan negeri masing-masing. Aku amat hairan setelah berpuluh tahun kita menukar status liga kita daripada amatur kepada liga profesional tapi kewangan masih memerlukan bantuan daripada kerajaaan negeri masing-masing. Mana tahap profesionalnya jika macam itu.

Aku mengharapkan agar setiap pasukan bolasepak negeri perlu mencontohi pasukan negeri Kelantan dari segi  menjana pendapatan dan setiap Presiden pasukan bolasepak negeri perlu belajar dengan Tan Sri Anuar Musa dari segi kemampuan menarik penaja-penaja untuk menaja pasukan anda dan barulah matlamat menjadikan sukan suatu industri tercapai.

Renung-renungkan lah......

Perlantikan panel bebas


Assalamualaikum dan salam sejahtera
Pihak kerajaan akhirnya menubuhkan panel bebas bagi menyiasat kejadian kekasaran oleh polis ketika perhimpunan BERSIH 3.0 pada 24 April yang lalu. Panel bebas ini diketuai oleh Tun Haniff Omar yang juga bekas Ketua Polis Negara.
Antara ahli-ahli lain yang menganggotai panel ini adalah bekas Ketua Hakim Borneo, Tan Sri Steve Sim; Ketua Eksekutif Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Husammuddin Yaacub; Penasihat Undang-undang Kumpulan Akhbar Sin Chew, Liew Peng Chuan; Pengurus Besar Kanan Hal Ehwal Korporat Petronas, Datuk Medan Abdullah dan pakar psikologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Ruzmi Ismail.
Jika anda seorang yang tidak memihak kepada mana-mana parti politik, adakah anda fikir orang-orang ini sesuai bagi menganggotai siasatan panel bebas ini? Jika kita lihat memang mereka ini adalah seorang yang penuh dengan kewibawaan yang tersendiri tapi adakah mereka ini akan menyiasat secara adil dan memenuhi tujuan asal panel ini ditubuhkan. Adakah mereka ini akan membuat keputusan kepada penilaian yang adil tanpa memihak dan tanpa memikirkan tentang kedudukan mereka seandainya hasil siasatan mereka tidak memihak kepada pihak polis? Itulah yang sebenarnya menjadi persoalan kepada masyarakat tentang pelantikan mereka yang menganggotai panel ini.
Apa yang pasti perlantikan Tun Haniff Omar bagi mengetuai panel bebas ini lah menjadi satu tanda tanya kepada masyarakat kerana statusnya sebagai seorang bekas anggota polis dengan pangkat Ketua Polis Negara. Adakah beliau akan mengadili dan menyiasat secara adil bekas pasukannya? Inilah yang menjadi persoalannya. Jika pihak kerajaan benar-benar tulus dan ikhlas tentang penubuhan panel penyiasat ini perlu melantik tokoh yang lain daripada Tun Haniff ini bagi menjamin keputusan yang akan diambil adalah benar-benar adil dan diterima oleh seluruh masyarakat.
Kita dulu pernah dikejutkan dengan insiden 'mata lebam' Anwar dan dulu juga pihak kerajaan melantik ahli  panel dikalangan polis untuk menyiasat siapa pelakunya tetapi tiada keputusan tetapi apabila pihak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya DiRaja barulah diketahui siapa yang menyebabkan 'mata lebam' Anwar. Oleh itu bagi aku cukup-cukuplah untuk bersandiwara...

Renung-renungkan lah.


Sabtu, 19 Mei 2012

Polis dan Ambiga

Assalamualaikum dan salam sejahtera

Lanjutan kepada peristiwa para peniaga berniaga burger didepan rumah Ambiga yang juga Presiden BERSIH kerana menuntut kerugian disebabkan perhimpunan haram yang lalu. Maka disebabkan itu Ambiga telah membuat laporan polis kerana para peniaga ini telah mengganggu ketenteraman beliau serta penduduk yang lain.

Aku ingatkan Ambiga ini tidak lagi mempercayai kepada pasukan polis tapi apabila terasa bahawa diri dia terancam dengan tindakan para peniaga ini  maka akhirnya kepada pasukan polis juga yang dia cari. Bagi aku ini adalah kesempatan yang terbaik bagi pihak polis membersihkan nama dan mendapat kembali kepercayaan orang awam terhadap pasukan polis dan sepatutnya mereka mengambil peluang ini dengan betul.

Apa yang aku baca diakhbar-akhbar arus perdana mengatakan yang pihak polis hanya menghantar pasukan peronda untuk memantau kawasan tersebut bersama dengan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang memantau para peniaga dari berniaga dikawasan tersebut.
Sepatutnya pihak polis bukan sahaja melakukan rondaan secara berkala tersebut tetapi juga perlu meletakkan anggota mereka secara statik dikawasan ini bagi menjaga ketenteraman dan keselamatan penduduk dikawasan tersebut. Bagi pendapat aku jika pasukan polis meletakkan anggota secara statik  ianya akan meningkatkan lagi imej pasukan polis kerana ini akan membuktikan bahawa pasukan polis adalah neutral iaitu tidak memihak kepada sesiapa dan juga sebuah pasukan yang akan menjaga keselamatan sesiapa juga tidak kira apa statusnya...

Malangnya Ketua Polis Negara dan juga Menteri Dalam Negeri tidak bertindak dengan betul untuk menaikkan imej pasukan polis dimata masyarakat kerana ini adalah peluangnya untuk membuktikan yang pasukan polis akan bertindak kepada sesiapa sahaja yang menjadi pengacau ketenteraman negara tidak kira lah pengacau itu propembangkang mahupun dari prokerajaan...

Renung-renungkan lah.........

Rabu, 16 Mei 2012

Selamat Hari Guru

Assalamualaikum dan salam sejahtera


Jika hari ini seorang
Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja
menaiki takhta
Jika hari ini seorang presiden
sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama
yang mulia
Jika hari ini seorang peguam
menang bicara
Jika hari ini seorang penulis
terkemuka
Jika hari ini siapa saja
menjadi dewasa
Sejarahnya dimulakan oleh
seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya
mengajar tulis baca

-Usman Awang


Buat semua guru-guru, pensyarah, ustaz, ustazah dan sesiapa juga yang pernah mengajar, yang pernah menurunkan ilmunya, aku ucapkan Selamat Hari Guru buat anda semua terutamanya guru-guru di Sekolah Kebangsaan Kemasik, guru-guru di Sekolah Menengah Chukai, pensyarah-pensyarah di Politeknik dan pensyarah-pensyarah di Universiti Teknologi Mara. Jasa anda semua terlalu tinggi dan semoga Allah sahaja yang dapat membalasNya. Jika setiap kebaikan yang aku lakukan berdasarkan ilmu yang anda bagi semoga pahala tersebut akan sampai kepada anda semua...andalah jutawan akhirat.


Terima kasih Guruku




Ahad, 13 Mei 2012

Kisah seekor kucing jalanan bernama Gendut

Assalammualaikum dan salam sejahtera.

Pada kali ini aku nak berbicara berkenaan dengan haiwan peliharaan iaitu kucing. Aku pasti kebanyakan daripada kita pernah memelihara kucing dan termasuklah aku ini (kalau nak tahu sebenarnya aku tak suka kucing)...jika apa yang aku buat ini boleh dikatakan memelihara kucing sebab ianya adalah kucing jalanan yang selalu datang ke rumah aku untuk meminta makanan.

Kucing jalanan bernama Gendut
Anak-anak aku namakan kucing ini Gendut sebab pada hari pertama dia datang ke rumah aku dalam keadaan yang sarat mengandung. Pada ketika itu dia sangat takut untuk didekati..biasalah kucing jalanan katakan. Tapi yang peliknya...dalam liar-liarnya selalu saja datang ke rumah aku untuk meminta makanan dan biasanya isteri dan anak-anak memberi dia sisa-sisa makanan kami untuk dimakan...tapi ketika itu jangan haraplah si Gendut ini datang makan jika kami berada berdekatan. 

Lama-kelamaan setelah selalu memberi dia makan akhirnya si Gendut ini makin mesra dan manja dengan kami, sehingga anak-anak aku boleh bermain-main dengan kucing ini. Aku yang pada awalnya tidak suka kepada kucing akhirnya jatuh hati juga kepada haiwan kesayangan sahabat Rasulullah saw ini walaupun tak seperti anak aku yang boleh tidur dengan kucing ini.

Sebenarnya kucing ini tidak dbenarkan berkeliaran didalam rumah aku hanya pada  masa-masa yang tertentu sahaja yang dibenarkan. Selebihnya dia akan merantau ke lain-lain rumah...walaupun begitu setiap kali kami membuka pintu depan rumah, dalam tiga (3) minit kemudian pastinya dia datang bermanja dengan kami atau datang meminta makanan.

Pada permulaannya kami hanya memberi lebihan makanan sahaja sebagai makanan kepada kucing ini tapi jika tiada makanan lebihan kami maka si Gendut ini akan kelaparan lah....akhirnya kerana kesian kepada Gendut ini yang selalu datang meminta makanan maka akupun membeli makanan khas untuk kucing agak jika dia datang bila-bila masapun akan ada makanan untuknya.

Gendut yang sedang lena tidur
Pada suatu hari si Gendut ini telah menghilangkan diri, puas sudah kami mencari dan memanggil-manggil namanya tetapi dia tidak munculkan diri. Aku hanya takut yang Gendut ini dilanggar kereta tetapi bangkainya tidak pula ku temui. Setelah lima(5) hari menghilangkan diri akhirnya si Gendut ini munculkan diri tapi dalam keadaan fizikal yang berlainan iaitu sudah kurus....ternyata dalam lima hari kehilangannya rupa-rupanya dia telah beranak rupanya. Anak-anak aku kembali gembira dengan kehadiran Gendut ini....


Sabtu, 12 Mei 2012

Buka gerai depan rumah Ambiga

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Bila aku terbaca artikel ini didalam suratkhabar Berita Harian yang bertarikh 11 Mei 2012...terasa geli hati betul aku....bukan apa...macamana dia orang boleh terfikir nak buat perkara ini sebagai bantahan kepada Pengerusi BERSIH iaitu Datuk S Ambiga sebab masa BERSIH 1.0 dan BERSIH 2.0 tak lah terfikir pulak mereka nak buat macam ini.

Tambah kapsyen
Buat masa ini hanya seorang peniaga yang berniaga burger didepan rumah beliau sebagai bantahan keatas kerugian yang dialami oleh peniaga di ibu kota akibat perhimpunan 28 April lalu. Mengikut akhbar Berita Harian itu lagi, pihak Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS) yang mewakili para peniaga di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) bahawa mereka memberi tempoh sehingga dua minggu kepada Ambiga untuk membayar kerugian sebanyak RM200,000.00. ketika BERSIH 3.0 dan jika Ambiga gagal berbuat demikian maka lebih banyak gerai akan dibuka didepan rumah Pengerusi BERSIH ini.

Aku difahamkan bahawa peniaga-peniaga ini adalah peniaga pasar malam di Jalan TAR dan jika betullah seperti yang dikatakan oleh IKHLAS bahawa jika Ambiga tidak membayar tuntutan mereka maka akan lebih ramai peniaga akan berniaga didepan rumah Ambiga....maka aku pun cuba bayangkan...didepan rumah Ambiga ada bermacam-macam gerai yang menjual bermacam-macam jualan.....fuh mesti 'havoc gila' tempat itu..... 

Aku tertarik dengan kata-kata Datuk S Ambiga bahawa beliau kecewa dan marah terhadap tindakan peniaga ini yang berniaga di depan rumahnya sehingga mengganggu ketenteraman jiran dan sekitar kawasan perumahannya dan jika ada tuntutan perlulah dibawa ke mahkamah bukan dengan berniaga di depan rumahnya...tapi adakah selama ini Datuk S Ambiga memikirkan perasaan marah, benci dan geram para peniaga ini yang tidak dapat berniaga pada hari tersebut sehingga mengganggu pendapatan mereka.....entahlah.....akupun tidak tahu.

Renung-renungkan lah.

Saya sayang emak

Assalamulaikum dan salam sejahtera

Emak, ibu, ummi, mama atau apa saja panggilan atau gelaran yang kita panggil kepada seorang perempuan yang telah melahirkan kita adalah satu gelaran atau panggilan yang amat bermakna bagi kita. Kali ini aku nak berkongsi dari sudut pandang aku tentang perempuan yang begitu beerti pada diri kita ini.

Kadang-kadang kita tidak pernah terfikir yang betapa bertuahnya kita yang masih mempunyai seorang ibu di dunia ini kerana kita tak memahami tentang kehilangan tetapi percayalah jika kita sudah kehilangan ibu baru kita tahu betapa insan ini lah yang menjadi sumber kekuatan kita selama ini.

Dialah yang melahirkan kita, yang mengenyangkan kita dengan susunya, yang menjaga kita semasa sakt dan dialah yang akan memastikan anak-anaknya kenyang dengan masakannya. Bagi aku insan ini terlalu banyak pengorbanannya  dan jika ingin dinyatakan disini pasti ianya tak akan habis. Walaupun ada juga golongan ibu yang sanggup membuang dan membunuh anaknya tapi ini hanyalah segelintir sahaja.

Aku kadang-kadang menjadi sedih kerana masih ada antara kita yang tidak menyayangi dan mengasihi ibunya..dengan meninggalkan mereka di rumah-rumah kebajikan dan melayan mereka seperti yang tidak sepatutnya. Seperti yang pernah kita baca di dada-dada akhbar akhir-akhir ini. Ingatlah Firman Allah yang bermaksud:

Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan ah dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah: Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil.
(QS. Al-Israa: 23-24)

Untuk makluman semua setiap 13 haribulan Mei setiap tahun telah diistiharkan sebagai Hari Ibu tapi kita sebagai umat islam perlu memahami bahawa sambutan itu adalah semperna hari Mother of Church.

Sabda Nabi Muhammad S.A.W yang membawa maksud:

"Kalian akan mengikuti adat tradisi umat sebelum kamu sejangkal demi sejengkal. Sehasta demi sehasta, sehingga sekiranya mereka masuk ke dalam lubang biawak (pun), kamu akan mengikutinya juga.Para sahabat nabi bertanya: Wahai Rasulullah, apakah mereka itu orang-orang yahudi dan Nasrani? Jawab baginda Rasulullah: Kalau bukan mereka, siapa lagi"?                                                                                                                                                            (Hadis riwayat Abu Said al Khudri )

Bagi aku memuliakan ibu adalah dituntut bukan setahun sekali tapi setiap masa dan saatnya. Menghormati ibu, berkhidmat kepadanya, menuntut keredhaannya serta berbuat kebaikan adalah dituntut dengan tuntutan yang pasti sebagaimana yang termaktub dalam al-Quran seperti didalam surah Al-Israa diatas dan hadis-hadis Nabi.

Adalah malang bagi kita sekiranya ucapan "saya sayang emak", "Terima kasih emak" dan sebagainya serta memberi hadiah atau penghargaan kepada ibu atau memberi ciuman kepada ibu dilakukan hanya setahun sekali   Janganlah kita mengikut adat atau perayaan golongan Yahudi dan Nasrani ini kerana perayaan yang mereka anjurkan sebenarnya adalah untuk keagamaan mereka.

Renung-renungkan lah.........

 

Kisah seorang sahabat: Ujian Allah paling hebat

Ini adalah artikel yang ketiga berkenaan dengan kisah seorang sahabat yang sedang diuji oleh Allah dengan ujian yang maha hebat. Artikel ini...