Jumaat, 27 November 2015

Kisah seorang sahabat: Ujian Allah belum berakhir

Untuk lebih memahami cerita ini, sila baca dari Kisah seorang sahabat: Akhirnya Allah tarik rezeki itu.

Aku ingatkan bila beberapa projek Apai mula menampakkan hasilnya, ujian Allah untuknya telah berakhir. Namun aku silap kerana Allah masih ingin menguji keimanan dan menghapuskan segala dosa-dosa Apai.

Betullah sepertimana firman Allah dalam surah al-Ankabut ayat 2 yang bermaksud: Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan, "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi?

Setelah Allah menarik segala kemewahan dan kekayaan Apai, Allah menguji pula Apai dengan memberinya sakit. Setelah batuk dan sakit dada sehingga susah untuk tidur, aku nasihatkan dia untuk berjumpa dengan doktor.

Satu yang aku lihat sikap dan mentaliti 'orang kaya' yang Apai sukar buang iaitu tak mahu ke hospital kerajaan kerana alasannya dia terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan rawatan. Memang aku akui alasan itu tapi bila tak ada duit...buatlah macam orang tak ada duit dan jangan berlagak seperti orang kaya yang pergi ke hospital swasta.

Setelah beberapa minggu menanggung sakit, akhirnya Apai mengalah. Dengan meminjam duit dari kawannya, Apai ke sebuah hospital swasta di Cheras kerana kawannya bertugas sebagai doktor di situ. Hasil pemeriksaan darah yang dilakukan sungguh mengejutkan kerana didapati Apai berkemungkinan mengidap kanser dan beliau diarahkan untuk membuat temujanji bagi membuat X-ray bagi mengesahkan kanser apa. (Sehingga artikel ini ditulis iaitu kira-kira sudah 9 bulan dari Apai berjumpa dengan doktor, dia langsung tidak membuat x-ray.)

Berita yang memgejutkan ini hampir membuatkan Apai hilang semangat untuk hidup. Hampir 2 bulan juga dia mengasingkan diri dari kawan-kawannya.

Dengan isteri yang langsung tidak menyokong apa lagi yang boleh dibuat oleh Apai. Nasib baiklah, kami sebagai kawan-kawan Apailah yang berusaha untuk menaikkan semangatnya untuk terus hidup.

Bersambung lagi......

DSP: Bukan mudah untuk pesakit menerima hakikat yang mereka mengidap kanser. Apatah lagi pesakit yang mengidapnya kebanyakan pengakhirannya adalah mati. Itupun bergantung kepada berapa tahap kanser tersebut.

Jika ada keluarga dan kawan-kawan kita yang mengidapnya, berilah sokongan kepada mereka kerana mereka amat memerlukannya. Dorong mereka untuk berfikiran secara positif kerana itu sahaja jalan yang lebih berkesan untuk melawan kanser.

Buat Apai dan mereka yang mengidap kanser, bertabahlah dengan ujian Allah ini.




Selasa, 10 November 2015

Kisah seorang sahabat: Akhirnya Allah tarik rezeki itu

Rezeki bukan sahaja dalam bentuk wang ringgit dan harta kekayaan tetapi rezeki itu juga meliputi anak, kesihatan dan juga kebahagiaan. Yang pastinya sebagai orang islam kita harus percaya yang semuanya itu adalah milik Allah dan Dia berhak memberi dan menariknya kembali.

Hadis Rasulullah saw yang bermaksud: Dari Abdullah bin Mas'ud beliau berkata: Rasulullah saw menyampaikan kepada kami dan beliau adalah orang yang benar dan dibenarkan: "Sesungguhnya setiap kalian dikumpulkan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40 hari berupa air mani. Kemudian berubah menjadi segumpal darah selama 40 hari. Kemudian menjadi segumpal daging selama 40 hari. Kemudian diutus kepadanya seorang malaikat lalu ditiupkan padanya ruh dan dia diperintahkan untuk menetapkan 4 perkara iaitu; menetapkan rezekinya, ajalnya, amalnya dan kecelakaan atau kebahagiaannya. Demi Allah yang tidak ada tuhan selainNya, sesungguhnya di antara kalian ada yang melakukan perbuatan ahli syurga hingga jarak antara dirinya dan syurga tinggal sehasta akan tetapi telah ditetapkan baginya ketentuan, dia melakukan perbuatan ahli neraka maka masuklah dia ke dalam neraka. Sesungguhnya di antara kalian ada yang melakukan perbuatan ahli neraka hingga jarak antara dirinya dan neraka tinggal sehasta akan tetapi telah ditetapkan baginya ketentuan. dia melakukan perbuatan ahli syurga maka masuklah dia ke dalam syurga. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Apa yang ingin aku ceritakan ini adalah kisah benar yang terjadi kepada seorang kawan dan berkaitan dengan hadis diatas.

Bukanlah niat aku untuk memburukkan atau menjatuhkan maruah dia tapi ambillah iktibar buat kita semua agar setiap rezeki yang Allah berikan kepada kita, menjadikan kita lebih dekat padaNya bukan sebaliknya. Lagipun aku dah mendapat keizinan dari yang ampunya diri untuk menceritakan kisah hidupnya sebagai panduan untuk kita semua asalkan dirinya yang sebenar tidak didedahkan.

Ceritanya begini:
Seorang kawan biarlah aku namakan dia sebagai Apai (bukan nama sebenar) telah Allah berikan rezeki yang murah berlipat kali ganda. Pada usianya 30 tahun pendapatan tahunannya sahaja telahpun mencapai RM3 juta hasil daripada kontrak yang dia perolehi daripada kerajaan selama 10 tahun

Dengan rezeki sebanyak itu yang Allah beri dalam usia yang muda menyebabkan Apai hilang pedoman. Setiap malam minggu rutinnya adalah melepak di kelab malam bersama kawan-kawannya. Apa yang menggembirakan kawan-kawannya ialah setiap malam minggu Apailah yang 'open table' beberapa barrel arak untuk kawan-kawannya. Pada ketika ini kawan-kawan sekelilingnya mengambil kesempatan di atas 'kebaikan' dan 'kemurahan' hati Apai. Bukan sahaja dari segi makan dan minum bahkan nak pinjam duitpun Apai beri.

Apai lupa 'langit tak selalunya cerah' selepas 10 tahun, kontraknya tidak lagi diperbaharui oleh kerajaan.  Ketika itu barulah dia sedar 'betapa tingginya langit'.

Setelah kontraknya tidak diperbaharui, hidupnya mula terumbang ambing. Kawan-kawannya yang dulunya rapat mula menjauhkan diri. Betullah kata orang "kawan semasa senang mudah dicari tetapi ketika susah, sorang-soranglah ko"

Dalam tempoh 2 tahun selepas kontraknya tamat, segala duit simpanannya yang tidak seberapa itu telah pun habis digunakan untuk membayar ansuran rumah, kereta dan sebagainya tapi mujurlah isterinya yang bekerja dan juga duit pinjaman dari  kawan-kawan Apai yang bersimpati dengan dirinya dapat menampung sedikit perbelanjaan keluarga.

Aku pernah suruh Apai jumpa beberapa kawannya yang pernah pinjam duit yang mencecah hampir RM100 ribu, kata Apai dia pernah jumpa kawan-kawannya yang pinjam duit dia tapi semuanya tak mahu bayar dengan alasan tak ada duit. Apalah kawan-kawan Apai ni..pinjam pandai tapi bila bab membayarnya......aduyai.

Masuk tahun ke-3 dan ke-4, satu projekpun tak dapat. Bila aku mencadangkan supaya dia mencari kerja lain jangan mengharapkan projek aje tapi katanya hanya itu saje yang dia boleh buat. Jadi hidupnya ke hulu dan ke hilir mencari projek.

Sejak hidup susah ini, satu yang aku mula perasan iaitu hubungan Apai dengan Allah mula rapat. Kebergantungan Apai dengan Allah mula kuat. Sembahyang 5 waktu tak pernah tinggal, sembahyang Dhuha, sembahyang Taubat dan sembahyang Tahajud juga mula menjadi amalan. Kalau dulu jangankan sembahyang, tikar sembahyangpun Apai tidak pernah kenal.

Tahun ke-5, beberapa projek mula Apai dapat walaupun nilainya tidaklah semewah dulu tapi dapatlah juga menampung sedikit keperluan keluarga dan juga untuk membayar hutang kawan-kawannya.

Bersambung sila baca Kisah seorang sahabat: Ujian Allah belum berakhir

DSP: Memang betul ujian Allah kepada hambanya datang dalam berbagai bentuk, ada dalam bentuk kekayaan, kemiskinan, anak, kesakitan dan sebagainya. Mereka yang diuji oleh Allah jika bersabar dan bertaubat dengan segala kesalahan pasti Allah akan tinggikan martabatnya.

Beruntunglah Apai kerana Allah telah menyedarkan beliau di atas segala kelalaian dan kesalahan selama ini. Sekurang-kurangnya beliau dapat bertaubat terlebih dahulu sebelum Allah menjemput. Aku doakan agar Apai sentiasa istiqamah di dalam amalan dan bersabar dengan ujian dariNya.










10 surah mustajab

Semuanya dengan izin Allah S.W.T. Dengan Istiqamah dan Doa kepada-Nya, InsyaAllah di makbulkan apa yang kita kehendaki. Jom kita amalkan s...