Khamis, 16 Ogos 2012

Shabery Cheek mengaku bertanggungjawab


Kegagalan kontinjen Malaysia untuk mendapatkan emas pertama negara di Sukan Olimpik telah menyebabkan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mengaku bertanggungjawab sepenuhnya di atas kegagalan tersebut.

Sebelum Sukan Olimpik, rakyat Malaysia dijanjikan sekurang-kurangnya satu pingat emas mampu dimiliki dengan atlit yang menjadi sandaran harapan Malaysia untuk merealisasikan hasrat tersebut iaitu Datuk Lee Chong Wei, Pandalela Rinong dan juga Azizul Hasni Awang tetapi malangnya hasrat 28 juta rakyat Malaysia tidak tercapai.

Setelah hasrat itu terkubur, berbagai ulasan dan komen yang diberikan oleh para pegawai sukan berkenaan dengan kegagalan tersebut. Ada yang kata atlit Malaysia tidak gagal kerana terdapat peningkatan dari segi keupayaan atlit wanita; ada yang kata terdapat peningkatan atlit dari sukan yang tidak disandarkan pungutan pingat seperti memanah; ada yang kata pencapaian kita menyamai pungutan pingat di sukan Olimpik Atlanta sebagai sesuatu yang membanggakan dan berbagai lagi ulasan yang diberikan tanpa mengaku diatas kegagalan tersebut. Hanya Datuk Naim Mohammad sebagai Timbalan Presiden Persatuan Lumba Basikal Kebangsaan sahaja yang mengaku dan mengambil tanggungjawab untuk meletak jawatan.

Pada pendapat aku, Datuk Naim tidak perlu meletak jawatan di atas kegagalan ini kerana jika dilihat rekod yang ditunjukkan oleh Datuk Naim di dalam memartabatkan sukan lumba basikal di Malaysia amat cemerlang dengan atlit-atlit yang dilahirkan mampu menjadi pencabar di setiap kejohanan dunia. Jika kita mengukur prestasi persatuan hanya kepada satu kejohanan yang disertai bermakna banyak Presiden dan Timbalan Presiden Persatuan Sukan yang perlu meletak jawatan.

Kita seharusnya melihat keseluruhan prestasi atlit dibawah persatuan terlebih dahulu sebelum mendesak mereka yang bertanggungjawab ke atas persatuan tersebut untuk meletak jawatan. Misalnya Persatuan Badminton dan Persatuan Olahraga yang selama ini dilihat gagal dalam melahirkan atlit pelapis yang berwibawa.

Bagi Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek pula kegagalan ini bukan terletak sepenuhnya ke atas beliau, kegagalan ini adalah kegagalan semua pihak yang terlibat dengan sukan tetapi sebagai orang yang bertanggungjawab beliau telah mengambil inisiatif untuk mengaku bahawa misi ke London adalah gagal sepenuhnya. Bagi aku tidak ramai pemimpin yang berani tampil dan mengaku perkara yang tidak menyebelahi mereka dan aku tabik kepada pemimpin seperti ini.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

10 surah mustajab

Semuanya dengan izin Allah S.W.T. Dengan Istiqamah dan Doa kepada-Nya, InsyaAllah di makbulkan apa yang kita kehendaki. Jom kita amalkan s...