Kepada yang tak tahu atau tidak mengenali tumbuhan ini, berikut adalah gambar tumbuhan tersebut:
Apa itu Rumpai Miang Mexico? Rumpai Miang Mexico adalah sejenis tumbuhan liar yang berasal dari beberapa negara di Amerika Selatan dan Utara sebelum tersebar ke Asia, Afrika dan Australia. Rumpai ini dikatakan berbahaya kerana boleh memberi kesan yang teruk kepada ekosistem semulajadi, sektor pertanian dan juga ternakan serta menyebabkan alahan kepada manusia.
Tumbuhan ini dipercayai merebak melalui bijirin, jerami, biji benih, kenderaan dan juga jentera yang dicemari biji benih rumpai miang dan mungkin juga melalui haiwan ternakan import.
Tumbuhan ini mampu menghasilkan 100,000 biji benih bagi setiap pokok yang mana setiap satunya mampu bertahan selama 10 tahun jika tertanam di dalam tanah dan mampu untuk tumbuh semula. Anak benih yang tumbuh mampu untuk mengambil alih keseluruhan kawasan.
Tumbuhan ini dikelaskan sebagai rumpai yang berbahaya kerana ia membiak dan merebak dengan cepat serta mengeluarkan bahan kimia yang memberi kesan alelopati, iaitu ia menyekat percambahan dan pertumbuhan pelbagai jenis tanaman seperti pastura, bijirin, sayuran dan rumpai lain. Disebabkan masalah yang dibawa oleh pokok ini, kerajaan India telah melabelkan rumpai ini sebagai 'Worst weed of the Century'.
Mengikut kenyataan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia, bahan kimia yang terdapat pada rumpai Miang Mexico (debunga, bahagian akar, daun dan batang) iaitu parthenin, hymenin dan ambrosin dikenalpasti boleh memberi kesan ke atas kesihatan manusia. Golongan yang berisiko adalah mereka yang terdedah secara langsung dengan “Rumpai Miang Mexico” terutamanya kanak-kanak dan orang tua. Namun begitu, tidak semua yang terdedah mengalami reaksi alahan atau alergi.
Sesetengah orang mengalami gejala apabila pendedahan berterusan dan berulang kali. Gejala daripada tindakbalas alahan adalah seperti ruam kulit, kulit mengelupas, gatal-gatal pada kulit, mata bengkak, dan allergic rhinitis serta gangguan pada sistem pernafasan seperti selsema dan asma.
Antara langkah-langkah yang boleh diambil bagi mengatasi masalah rumpai miang Mexico ini ialah:
1. Mencabut dan memusnahkan rumpai ini sebelum ia berbunga. (perlu menggunakan sarung tangan dan pakaian yang sesuai sebelum kerja dilakukan)
2. Kawalan secara kimia boleh dilaksanakan dengan menggunakan racun rumpai yang mempunyai bahan aktif seperti glyphosate, atrazine atau metribuzin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan