Akhirnya suspek yang disyaki membunuh pengasas AmBank, Hussain Ahmad Najadi, 75 pada 29 Julai lalu telah ditangkap dalam sebuah rumah usang di RKT Larut Tin Tambahan, Taiping yang dijadikan tempat persembunyiannya sejak lebih sebulan lalu.
Rumah kayu yang dipenuhi semak di sekitar kawasan kediaman itu tidak mempunyai perabot serta alatan elektrik dan kelihatan seperti sudah lama ditinggalkan.
Lelaki yang tidak mempunyai kereta dan motosikal telah dihantar oleh rakannya untuk tinggal di rumah tersebut.
Jiran berdekatan rumah suspek amat terkejut kerana tidak menyangka bahawa lelaki yang amat dikehendaki oleh polis bersembunyi di kawasan rumah mereka.
Wong, 48 tahun yang juga jiran suspek mengatakan bahawa dia sering melihat rumah sewa itu dalam keadaan sunyi seperti tidak berpenghuni.
"Pada waktu siang, semua pintu dan tingkap rumah itu tertutup rapat seolah-olah tiada penghuni, namun pada sebelah malam pula kelihatan seorang lelaki bermotosikal datang menghantar bungkusan makanan ke rumah itu.
"Pernah sekali saya melihat suspek dalam keadaan yang tidak terurus dengan misai dan jambang tidak dipotong. Namun kami tidak menyangka yang dia adalah suspek yang dikehendaki oleh polis.
Sumber polis mengatakan, suspek dipercayai sudah kehabisan duit dan bekalan makanan selepas sekian lama menyorok di rumah itu.
"Dia meminta ibunya memasukkan duit ke dalam akaun bank. Sepanjang suspek berada di rumah tersebut, rakannya yang sering datang menghantar makanan dan juga membantu mengeluarkan duit dari bank.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan