Selasa, 30 September 2014

Peraturan baru cermin gelap: 1 November 2014

Penguatkuasaan peraturan baru cermin gelap berkuatkuasa pada 1 November 2014. Peraturan baru itu menyaksikan kadar ketelusan cahaya (VLT) bagi cermin belakang dan cermin sisi penumpang belakang kenderaan dikurangkan daripada 50 peratus kepada 30 peratus. Bagaimanapun VLT bagi cermin hadapan kekal pada 70 peratus dan bagi cermin sisi pemandu kekal pada 50 peratus.

Peraturan baru itu berkuatkuasa ke atas semua jenis kenderaan di negara ini termasuk kereta import dan milik wakil rakyat.

Pengecualian terhadap peraturan itu hanya diberikan kepada penggunaan kenderaan membabitkan jawatan tertentu seperti Yang di Pertuan Agong, Sultan, Yang di Pertua Negeri, Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Besar, Ketua Menteri dan Ketua Hakim.

Pengecualian juga diberikan kepada jabatan tertentu yang menjalankan penguatkuasaan berisiko tinggi seperti polis dan Kastam dengan syarat perlu membuat permohonan terlebih dahulu.

Pengguna jalan raya yang gagal mematuhi peraturan baru ini boleh dikompaun RM300 dan sekiranya kes dibawa ke mahkamah mereka boleh didenda sehingga RM1,000 atau penjara 2 minggu atau kedua-duanya.

DSP : Baguslah kalau macam tu... Cuaca di Malaysia yang panas amat perlu dipasang cermin gelap pada kenderaan kerana ianya dapat membantu mengurangkan haba yang terperangkap di dalam kenderaan di samping mampu untuk mengurangkan kesan silau cahaya matahari.  Selain itu peraturan baru ini juga memberikan keadilan kepada semua pengguna kenderaan apabila hanya jawatan tertentu sahaja yang diberi pengecualian daripada mematuhi peraturan baru ini.

Jumaat, 26 September 2014

Cinta hingga ke syurga

Isteri : Abang, jom kita pergi beli barang dapur...Barang dapur dah banyak dah habis.

Suami : Boleh, jomlah.... Ayang siaplah dulu, abang tunggu ayang dalam kereta.

Isteri : Ayang dah siap dah ni... Cuma nak sarung tudung aje.

Suami : Aik..? Pakai macam tu je ke? Tak nak tukar baju lain?

Isteri : Kenapa bang? Bukan ke baju ni dah cantik... takkan nak kena tukar pulak. (suara isteri mula meninggi).

Suami : ooo...ok la kalau tak nak tukar pun... Jom la nanti terlambat pulak.

(Setelah balik daripada membeli barang keperluan dan bersama-sama mengangkat barang masuk ke dalam rumah)

Suami : Ayang biarlah dulu barang-barang tu... nanti abang tolong ayang kemaskan barang-barang tu. Jom kita sembahyang Zuhur dulu bersama-sama.

Isteri : Tak apalah bang, abang pergi sembahyang lah dulu... lagipun abang kata...abang nak mandi dulukan. Ayang nak kemaskan barang-barang ni kemudian barulah ayang pergi sembahyang.

(Setelah suami selesai mandi dan sembahyang)

Suami : Ayang..oo..yang, dah sembahyang ke belum? Aik..tidur ke? (Kelihatan isteri tertidur di sofa). Sayang bangun...dah sembahyang Zuhur ke belum?

Isteri : (dengan mata yang masih terpejam) belum lagi... Dah pukul berapa?

Suami : Dah pukul 3:45 petang dah. Bangunla... dah nak masuk waktu asar dah.

Isteri : Sekejap lagi ayang bangun la sembahyang. Ayang penat la...Ayang nak tidur sekejap.

Suami : Hhmmm. ...ok, jangan lupa bangun sembahyang tau.....abang nak kuar sekejap ni jumpa kawan.

(Setelah 2 jam, suami baru balik dari berjumpa kawannya. Kelihatan si isteri masih lagi sedang tidur di sofa)

Suami : (memegang badan isteri untuk mengejutkannya dari tidur) Sayang...bangun dah pukul 5:45petang dah..tak elok tidur selepas asar ni.

Isteri : Hhmmm. ......

Suami : Sayang, dah sembahyang Zuhur ke belum?

Isteri : Hhmmm....tak, tak terbangun...alahai penatnya ayang rasa.

Suami : Itulah tadi, abang ajak sembahyang Zuhur sama-sama, ayang tak mahu. Ayang nak kemaskan barang-barang tu dulu. Kan dah penat....bukan ke, abang kata nak tolong kemaskan sama-sama.

Isteri : Ala...abang ni..bukan sengaja la...Ayang tertidur tadi.

Suami : Ya...abang tahu..sebab tu la, abang kejutkan ayang tadi supaya bangun sembahyang.

Isteri : Ya lah, nanti ayang qadha la sembahyang Zuhur tu....abang jangan lah bebel pulak..sakit la telinga...

Suami : Mahunya tak marah...ini bukan kali pertama...dah banyak kali macam ni.

(Suami pun duduk di sisi isteri sambil memegang tangan isteri)

Suami : Hhmmm....Boleh abang tanya satu soalan?

Isteri : Boleh, apa dia...?.

Suami : Abang nak tanya, ayang ni sayang tak kat abang?

Isteri : Mestilah sayang, kalau tak sayang takkan lah ayang kahwin dengan abang. Sayang sangat-sangat.

Suami: Betul ke? Abang tengok macam tak sayang je...

Isteri : Betul. Kenapa abang tak percaya ke?

Suami : Bukan apa, sebenarnya abang terlalu sayangkan ayang..sampai abang tak sanggup tegur ayang bila ayang kat luar pakai baju dan seluar ketat sampai nampak bentuk apa yang perlu disembunyikan...ayang lengahkan solat..kadang-kadang sampai terlepas waktu....kadang-kadang tu abang nak marah tapi abang mengalah...sebab abang sayangkan ayang...abang tak nak gaduh dengan ayang.. Abang bersyukur sebab...ayang pakai tudung.... tapi pakaian tetap tak mengikut syariat yang ditetapkan oleh agama. Kadang-kadang bila ada lelaki yang jeling-jeling tengok dua biji gunung kat dada ayang tu..rasanya cemburu sangat...

Isteri : Abang....

Suami : Itulah...bila abang fikir yang Allah akan persoalkan tanggungjawab abang di Mashyar nanti.....sebagai seorang suami..sebagai ketua rumahtangga..abang rasa takut sangat...abang takut sebab nanti ayang akan persoalkan abang...tentang tanggungjawab abang yang tidak menegur...tidak membimbing ayang... nanti Allah akan tarik semua amalan abang dan bagi kat ayang...dan Allah campakkan abang ke dalam neraka kerana abang gagal dalam melaksanakan tanggungjawab abang... (Suami mengalir air mata)

Isteri : Abang....jangan cakap macam tu....(mula menangis)

Suami : Abang boleh je kasar dengan ayang....tegas dengan ayang...tapi abang tak mahu sebab abang kahwin dengan ayang untuk bimbing ayang menjadi ketua bidadari...untuk cintai ayang....dan semoga cinta ini akan membawa kita hingga ke syurga..insya Allah.

DSP:  Mungkin kejadian ini berlaku kepada kebanyakan lelaki yang bergelar suami. Ada antara mereka mengalami situasi seperti di atas yang mana tidak berani untuk menegur pakaian yang dipakai oleh isteri dan ada juga membiarkan isteri tidak menutup aurat terutamanya rambut. (Anak perempuan juga pastinya tidak terlepas daripada tanggungjawab lelaki sebagai bapanya yang perlu ditegur jika tidak menutup aurat.) Alangkah indahnya jika cinta antara suami dan isteri itu berpaksikan cinta kepada Allah.






Isnin, 22 September 2014

Siswi tunduk pada nafsu

Kisah "siswi tunduk pada nafsu" bukan untuk memburukkan sesiapa tetapi sebagai panduan buat diri kita bahawa nafsu amat sukar ditundukkan lebih-lebih lagi jika kita duduk berdua-duaan antara lelaki dan perempuan tidak kira muhrim atau tidak. Tidak kiralah seorang itu terpelajar, tok imam, datuk kepada cucunya, ayah kepada anak perempuannya, suami atau isteri dan sebagainya. Jika nafsu yang diturutkan maka meranalah diri.

Allah telah menciptakan manusia, malaikat dan haiwan. Perbezaan antara manusia, malaikat dan haiwan ialah: apabila Allah menciptakan manusia, Allah telah berikan pada manusia 2 perkara iaitu akal dan nafsu bagi membezakan antara yang baik dan buruk. Manakala malaikat pula, Allah berikan hanya akal dan bagi haiwan pula diberikan hanya nafsu. Sebab itu jika manusia tidak dapat mengekang nafsunya maka kedudukannya lebih teruk daripada haiwan, tetapi jika manusia dapat mengawal nafsu maka kedudukannya lebih tinggi daripada malaikat.

Dalam sebuah kitab karangan ‘Ustman bin Hasan seorang ulama yang hidup dalam abad ke 13 Hijrah, menerangkan bahawa sesungguhnya Allah S.W.T telah menciptakan akal, maka Allah S.W.T telah berfirman yang bermaksud: "Wahai akal mengadaplah engkau." Maka akal pun mengadap kehadapan Allah S.W.T, kemudian Allah S.W.T berfirman yang bermaksud: “Wahai akal berbaliklah engkau!” Lalu akal pun berbalik.

Kemudian Allah S.W.T berfirman lagi yang bermaksud: “Wahai akal, Siapakah aku?". Lalu akal pun berkata, “Engkau adalah Tuhan yang menciptakan aku dan aku adalah hamba-Mu yang daif dan lemah.”

Lalu Allah S.W.T berfirman yang bermaksud: “Wahai akal tidak Ku-ciptakan makhluk yang lebih mulia daripada engkau.”

Setelah itu Allah S.W.T menciptakan nafsu dan berfirman kepadanya yang bermaksud: “Wahai nafsu, mengadaplah kamu." Nafsu tidak menjawab sebaliknya mendiamkan diri. Kemudian Allah S.W.T berfirman lagi yang bermaksud: “Siapakah engkau dan siapakah Aku?” Lalu nafsu berkata, “Aku adalah aku dan Engkau adalah Engkau.”

Setelah itu Allah S.W.T menyiksanya dengan neraka jahim selama 100 tahun, dan kemudian mengeluarkannya. Kemudian Allah S.W.T berfirman yang bermaksud: “Siapakah engkau dan siapakah Aku?”. Lalu nafsu berkata, “Aku adalah aku dan Engkau adalah Engkau.”

Lalu Allah S.W.T menyiksa nafsu itu dalam neraka Juu’ (iaitu neraka kelaparan) selama 100 tahun. Setelah dikeluarkan maka Allah S.W.T berfirman yang bermaksud: "Siapakah engkau dan siapakah Aku?”. Akhirnya nafsu mengakui dengan berkata, "Aku adalah hamba-Mu dan Kamu adalah Tuhanku."

Disebabkan inilah kepada sesiapa yang tidak mampu untuk mengekang nafsunya dan tidak mampu untuk berkahwin maka adalah digalakkan untuk berpuasa kerana dengan berpuasa itu nafsu menjadi lemah.

Ikuti kisah siswi yang tewas dengan godaan nafsu ini:

Seorang pemandu bas ekspres yang dalam perjalanan dari Kuala Terengganu ke Kuala Lumpur terpaksa memberhentikan kenderaannya di sebuah balai polis di Cherating selepas terkejut melihat aksi sepasang kekasih sedang melakukan seks oral di dalam bas.

Dalam kejadian kira-kira 12:30 tengah malam itu, pemandu berusia 39 tahun menyaksikan adegan itu menerusi kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang dalam kenderaan berkenaan.

Pemandu bas itu kemudiannya membuat laporan di balai polis dan pasangan kekasih tersebut telahpun ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 294(a) Kanun Keseksaan kerana berkelakuan lucah di tempat awam. Rakaman CCTV akan diteliti untuk siasatan lanjut.

Rakaman selama 7 minit menunjukkan bahawa siswi tersebut yang berusia 20 tahun yang juga pelajar jurusan perakaunan sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Terengganu sedang melakukan seks oral terhadap pasangannya yang juga berusia 20 tahun.

Siasatan mendapati pasangan terbabit yang duduk di tingkat atas bas ekspres itu mengaku mula melakukan perbuatan tersebut bermula dari kawasan Chendor.

DSP: Bagi mengelakkan perkara ini berulang, pihak berkuasa sepatutnya mula memikirkan untuk mengasingkan tempat duduk untuk wanita dan lelaki pula untuk bas ekspres.







Ahad, 14 September 2014

Rekod dunia pecah di Kemaman

Satu rekod dunia akhirnya telah diumumkan oleh Guiness World Book Of Record di Kuala Kemaman sebentar tadi.

Pengumuman itu dibuat oleh wakil dari Guiness World of Record yang datang dari Amerika Syarikat.

Rekod dunia yang dipecahkan itu adalah Perarakan Bot Terbesar yang sebelum ini dipegang oleh London. Sebelum ini rekod mencatatkan 670 buah bot berarak di Sungai Thames sempena Olimpik pada 2012.

Kali ini di Kemaman, rekod tersebut dipecahkan oleh warga nelayan apabila 1180 buah bot telah menyertai perarakan sempena menyambut bulan kemerdekaan Malaysia ke-57.

Warga nelayan dari Dungun, Paka, Kerteh, Kemasik, Kijal dan Kuala Kemaman telah menyertai perarakan tersebut.





Selasa, 9 September 2014

Masih penting ke bakal isteri ada dara

Masih penting ke bakal isteri ada dara? Persoalan ini aku ajukan kepada semua lelaki yang belum berkahwin dan yang akan berkahwin.

Sebelum itu apa itu dara? Dara yang aku maksudkan bukannya nama Dara tapi dara yang aku maksudkan adalah selaput dara atau hymen. Selaput dara ini merupakan satu lipatan membran yang menutupi pintu bibir vagina perempuan. Selaput ini sangat nipis dan merupakan membran yang lembut. Secara biologinya membran ini tidak berfungsi, namun ia tetap menjadi beban yang sangat berat buat perempuan kerana ia dinilai oleh 'selaput dara' sebagai bukti kegadisan seorang perempuan.

Selaput dara sangat elastik dan tidak mudah terkoyak. Ianya hanya boleh terkoyak jika berlakunya hubungan seksual, rawatan perubatan yang dilakukan pada liang vagina, gangguan penyakit pada saluran vagina atau kemalangan dan aktiviti berat seperti terlalu aktif bersukan, menunggang basikal, memanjat pokok dan sebagainya.

Dalam arus kemodenan kini, pergaulan yang bebas antara perempuan dan lelaki dan sesetengahnya telah melakukan hubungan seks diluar perkahwinan adakah petanda bahawa lelaki sekarang ini tidak lagi mementingkan bakal isterinya mempunyai dara atau tidak.??

Namun, aku percaya kebanyakan lelaki pasti akan menitip beratkan bakal isterinya yang akan dikahwini masih mempunyai dara kecuali lah jika bakal isteri yang hendak dikahwini itu dia sendiri yang terlebih dahulu merobek dara tersebut.

Tanyalah sesiapa sahaja termasuk 'Mat Rempit' pasti jawapannya mereka mementingkan bakal isteri mempunyai dara...kerana alasannya mereka tidak mahu mengambil 'bekas' orang. Lainlah jika gadis tersebut kehilangan dara bukan disebabkan melakukan seks. Itu mungkin boleh dipertimbangkan.

Jadinya kalau macam tu....apalah agaknya nasib perempuan yang sudah kehilangan dara disebabkan pernah tidur dan mengadakan seks dengan lelaki yang bukan muhrim.?

Bukan tak ada lelaki yang boleh terima bakal isterinya telah kehilangan dara disebabkan pernah melakukan kesilapan dahulu dengan tidur bersama teman lelaki, ada tetapi lelaki seperti ini tak ramai.

Aku ada 5 orang kawan yang masih belum berkahwin. Bila aku bertanyakan kenapa tak kahwin lagi? 2 daripadanya mengatakan mereka hampir berkahwin tapi disebabkan mereka diberitahu yang bakal isterinya telah kehilangan dara disebabkan pernah tidur dengan lelaki lain maka terpaksalah mereka membatalkan perkahwinan mereka. 3 orang lagi mengatakan bahawa mereka tiada jodoh.

Oleh itu buat semua gadis, perempuan atau wanita yang belum berkahwin janganlah mudah menyerahkan 'dara' korang untuk ditebuk oleh lelaki yang bukan suami korang. Bak kata orang tua, "sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tak berguna lagi".

Apa pula pendapat korang berkenaan pentingkah bakal isteri masih mempunyai dara?




Khamis, 4 September 2014

Viagra: kegunaan selain seks

Viagra pada awalnya dicipta adalah untuk mengubati penyakit selesema tetapi disebabkan ianya juga dapat menyelesaikan masalah gangguan seksual maka pil yang berwarna biru ini lebih terkenal bagi menyelesaikan masalah seksual lelaki.


Hasil kajian yang dilakukan juga didapati pil viagra ini boleh menyelesaikan beberapa masalah selain daripada seksual lelaki.

Pil viagra boleh digunakan untuk mengubati:

1. Masalah rumahtangga
Satu kajian yang dilakukan oleh Hospital Universiti di Cairo ke atas 35 orang yang menghadapi masalah dalam rumahtangga di dapati 32 orang daripada mereka dapat mengatasi masalah tersebut. Yang mengejutkan adalah masalah mereka bukan sahaja melibatkan masalah seksual tetapi juga melibatkan gangguan emosi dan mental. Didapati pil viagra dapat menyelesaikan masalah mereka dengan efektif.

2. Masalah jantung
Bagi pesakit yang mempunyai masalah jantung untuk mengepam darah ke seluruh badan, pil viagra digunakan untuk mengatasi masalah tersebut.

3. Tumor
Pil biru yang mengandungi doxorubicin amat sesuai bagi mengubati penyakit kanser. Pil viagra ini mampu memperkecil saiz tumor dan melindungi jantung dari kerosakan.

4. Haiwan yang dilanda kepupusan
Gangguan seksual bukan sahaja berlaku pada manusia tetapi haiwan juga sama. Bagi mengatasi masalah kepupusan pada sesetengah haiwan, para saintis telah mendapati pil viagra ini juga dapat mengatasi masalah gangguan seksual yang berlaku pada haiwan. Dalam kajian yang dilakukan ke atas Panda didapati ianya dapat memanjangkan tempoh hubungan seks sehingga 20 minit yang biasanya sebelum ini dilakukan hanya 30 saat.

5. Tanaman
Pil viagra boleh digunakan sebagai baja bagi tanaman. Hanya 2 peratus pil Viagra dapat menyuburkan pokok dan melibatkan bunga.

6. Atlit
Para atlit menggunakan Viagra sebagai pengganti steroid yang dilarang untuk mereka gunakan.

7. Bayi pramatang
Viagra yang diberikan kepada bayi yang lahir tidak cukup bulan dan diletakkan di dalam inkubator dapat keluar 4 kali lebih cepat daripada bayi pramatang yang tidak diberikan viagra.

8. Kesuburan
Viagra yang dimasukkan ke dalam alat reproduktif wanita akan meningkatkan aliran darah ke arah rahim dan membuat telur-telur wanita menjadi lebih subur.

10 surah mustajab

Semuanya dengan izin Allah S.W.T. Dengan Istiqamah dan Doa kepada-Nya, InsyaAllah di makbulkan apa yang kita kehendaki. Jom kita amalkan s...