Sebelum itu, janganlah kata aku berlagak pulak bila aku menulis tentang artikel pandu uji ini. Sebenarnya aku tulis ni pun sebab nak minta pendapat korang tentang kereta-kereta yang aku pandu uji ni sebab aku dah pening nak pilih yang mana satu....tolonglah yea.
Mengapa aku pilih SUV?
Senang ceritanya sebab sekarang ni aku pakai kereta jenis MPV jadi nak tukar ke kereta aku rasa terlalu janggal sangat sebab kereta kedudukannya rendah jadi aku pilih SUV sebab keretanya tinggi. Bila tinggi ni, kita 'confident' sikit bila bawa kereta sebab pemandangannya luas. Lagipun senang nak masuk ke dalam kereta dan nak keluar dari kereta. Selain itu aku mementingkan keselesaan bagi penumpang. Tak ada kereta yang memberikan ruang kaki yang luas selain SUV dan MPV. (Ada kereta yang luas untuk penumpang belakang tapi budget aku tak sampai untuk membeli kereta seperti itu)
Antara kereta yang telah aku pandu uji selama 3-4 minggu ini adalah daripada jenama Kia, Hyundai, Mazda, Ford dan Honda.
1. Kia Sportage 2.0
Kereta ini dihidupkan dengan 'push start button'. Enjinnya hampir tidak kedengaran daripada dalam. Semasa aku duduk didalam kereta ni ianya memang sungguh selesa sebab kerusinya seakan-akan memegang badan kita (bucket seat) begitu juga dengan kerusi dibahagian belakang.
Berikut adalah ulasan dan pendapat aku berkenaan kereta ini:
- Enjin Theta ll, 1998 cc CVVT menghasilkan 166ps dan 197Nm tork, aku rasa agak kurang power sebab bila aku tekan pedal minyak, tindakan enjinnya agak lambat ketika bermula gear pertama tetapi apabila ianya berada dalam gear ke3 agak terasa 'pickup' kereta ini. (terasa agak berat ketika permulaan). Aku juga mencuba gear manual pada kedudukan pegun dan barulah terasa enjinnya bertindak agak cepat.
- Gadjet yang dipasang di dalam kereta ini sepatutnya dipasang juga di dalam kenderaan SUV yang lain, dengan kata lain Sportage ini adalah 'full specs'. - push start button, leather seat, kerusi pemandu berkuasa elektronik (8 cara boleh ubah), fungsi AUX, USB, Ipod, Bluetooth, 2 bumbung panorama (anak aku suka sangat dengan bumbung ini), transmisi 6 kelajuan automatik, 6 beg udara (airbags), ABS, EBD, Downhill Brake Control, Hill-Start Assist Control, Cornering Brake Control, Brake Assist Sistem dan Traction Control Sistem serta ESP. Jika dilihat di stereng dan di papan pemuka terdapat begitu banyak suis (button).
- Kerusinya agak selesa dengan 3 orang di kerusi belakang, dengan ruang kaki yang luas.
- Kereta ini terasa agak berayun ketika melalui selekoh.
- Ruang kelegaan antara bumbung dan kepala agak rendah dan ini telah menyebabkan kepala anak aku terhantuk pada bumbung kereta ketika hendak masuk ke dalam kereta. (Itu tak kira lagi jika Ayah Mentua aku naik kereta ini)
- Apa yang aku suka adalah kedudukan monitor kamera belakang yang berada di cermin pandang belakang kerana ianya boleh mengelakkan silau jika diletakkan di papan pemuka bagi kebanyakan model.
- Salesman beritahu aku yang kadar penggunaan minyaknya adalah dalam lingkungan 18sen untuk 1 km. (Kalau fakta ni tak betul tolong bagitahu).
- Aku diberitahu juga bahawa kereta ini adalah mengikut spesifikasi Eropah, disebabkan itu spesifikasinya adalah tinggi tetapi yang menjadi persoalannya adakah ianya sesuai digunakan di Malaysia yang mana cuaca di sini adalah berbeza dengan Eropah (dari segi suhu). Yang membimbangkan aku adalah enjin kereta ini mungkin akan mengalami 'over heating'??
2. Hyundai Tucson 2.0
Berikut adalah ulasan dan pendapat aku berkenaan dengan kereta ini.
- Enjin kereta ini sama dengan Kia Sportage iaitu Theta ll, 1998 CVVT yang menghasilkan 166ps dan 197Nm tork. Disebabkan itu terasa juga yang enjin ini kurang 'power'. Berbeza dengan Sportage, enjinnya boleh didengari 'mengaum' daripada dalam kereta ketika cuba memotong kenderaan.
- Gadgetnya agak kurang jika dibandingkan dengan Sportage. Namun begitu ianya memberikan 6 beg udara, push start button, transmisi 6 kelajuan dan sebagainya. (Spesifikasinya berbeza mengikut type kereta: Tucson menawarkan 3 type iaitu Elegance, Executive dan Premium.)
- Kerusinya bukan jenis 'bucket seat' dan ianya memberikan keselesaan yang lebih di ruangan penumpang belakang jika penumpang lebih daripada 3 orang.
- Disebabkan enjinnya sama dengan Sportage, penggunaan minyaknya juga adalah sama iaitu 18 sen untuk 1km.
3. Mazda CX5 2.0
Aku diberitahu yang senarai menunggu bagi kereta jenama ini hampir mencapai 150 orang. Ini bermakna jika aku memilih kereta jenama ini aku terpaksa menunggu sehingga 4 bulan untuk mendapatkannya.
Berikut adalah ulasan dan pendapat aku berkenaan dengan kereta ini:
- Enjin Skyactiv G 2.0 yang menghasilkan 155ps dan 200Nm tork. Ketika bermula daripada pegun terasa yang kereta ini agak berat. Begitu juga ketika ingin memecut, terasa enjinnya kurang memberikan respon yang diharapkan. Ini mungkin kereta ini di 'setting' demikian bagi menjimatkan minyak.
- Bunyi enjinnya dapat didengari daripada dalam ketika menekan pedal minyak untuk memotong kenderaan dihadapan.
- Gadget kereta ini berbeza antara satu sama lain mengikut type. Mazda menawarkan 3 type iaitu 2WD mid spec, 2WD high spec dan 4WD high spec.
- Kerusinya adalah kerusi kulit dan agak selesa di bahagian pemandu dan penumpang belakang tetapi sayangnya kerusi di bahagian penumpang belakang agak tegak. Isteri aku mengadu yang pinggangnya agak sakit disebabkan kedudukan kerusi belakang tersebut. Aku ada bertanyakan kepada jurujual tentang kerusi bahagian penumpang belakang sekiranya kerusi tersebut diturunkan ke belakang sedikit tetapi katanya kerusi bahagian belakang tidak boleh diturunkan lagi.
- Aku diberitahu minyak yang digunakan untuk menggerakkan kereta ini dalam 1km hanya 13sen. Sungguh menjimatkan berbanding dengan jenama kereta yang lain. (dalam segmen yang sama).
4. Honda CRV 2.0
Aku seboleh yang mungkin ingin mengelakkan daripada memandu uji kereta Honda. Ini kerana aku ingin lari daripada kebiasaan orang Malaysia yang hanya memilih kereta Honda dan Toyota. Namun akhirnya aku tersesat (lebih kepada godaan ingin mencuba apa yang bagusnya Honda) juga ke showroom mereka.
Berikut adalah ulasan dan pendapat aku berkenaan dengan kereta ini:
- Berdasarkan bentuk luaran kereta ini, aku dapati kereta ini kelihatan amat besar dan panjang serta gagah. (Sebenarnya Mazda CX5 lebih panjang 10mm)
- Enjin dari jenis SOHC 4 Cylinder 16 Valve i-VTEC yang menghasilkan 155PS dan 190Nm tork. Ketika bermula daripada pegun, aku dapat merasai yang enjin ini perlu bekerja dengan kuat untuk menarik 'body'nya yang besar dan berat. Sememangnya betul kerana ketika aku ingin memotong kenderaan di depan, aku dapati enjinnya langsung tidak memberikan respon yang aku kehendaki.
- Menawarkan 5 transmisi kelajuan berbanding dengan pesaing yang lain (6 transmisi kelajuan).
- Jika melihat kepada gadget yang dimiliki oleh CRV ini amat ketinggalan berbanding dengan jenama yang lain kerana masih menggunakan kunci (push start button hanya untuk CRV 2.4 sahaja) dan juga memberikan 4 beg udara sahaja. Manakala bagi kerusi pula dibaluti dengan fabrik.
- Disebalik kekurangan tersebut, aku amat sukakan kereta ini kerana ruangan penumpang belakang yang amat luas berbanding dengan jenama kereta yang lain. Selain itu, ruangan barangan juga amat luas. Disamping itu, terdapat juga corong aircond untuk penumpang belakang.
- Bagi kegunaan minyak pula, aku diberitahu yang ianya memerlukan 20sen untuk menggerakkan kenderaan ini sejauh 1km.
5. Ford Kuga 1.6
Sebenarnya aku tidak tahu pun yang Ford ada melancarkan jenama kereta SUV yang baru. Apa yang aku tahu hanya Escape. Kebetulan ketika aku pulang dari kerja, aku ternampak satu kereta SUV dan bila diamati ianya adalah dari jenama Ford dengan nama Kuga.
Jangan buat tanggapan yang bukan-bukan jika korang rasa enjinnya yang kecil takkan mampu menarik 'body'nya yang besar kerana dari pandu uji aku, ianya adalah sebaliknya.
Berikut adalah ulasan dan pandangan aku berkenaan dengan kereta ini:
- Enjin 1.6L GTDI 14 DOHC 16V Ti-VCT, memberikan 180PS dan 240Nm tork. Jika dilihat daripada kuasa dan torknya kita sudah dapat agak betapa berkuasanya kereta ini walaupun enjinnya hanya bersesaran 1596cc sahaja. Bermula daripada keadaan pegun, tidak terasa body'nya yang berat kerana enjinnya memberikan respon yang diharapkan. Mengikut perkiraan aku 'soft turbo'nya akan bermula ketika 2500rpm. Dengan kereta ini aku tidak risau untuk memotong kenderaan lain didepan.
- Boleh kedengaran enjinnya yang mengaum daripada dalam kereta.
- Memberikan perlindungan dengan 7 airbags.
- Gadgetnya yang paling aku suka ialah bonet belakang boleh dibuka dengan menghulurkan kaki di bawah kereta belakang. Selain itu ianya juga boleh dibuka dengan 'remote button'.
- Bagi kerusi pula, aku dapati ianya terlalu ringkas kerana hanya dibalut dengan fabrik.
- Bagi kerusi penumpang belakang pula aku dapati ianya terlalu kecil dan nipis. Jika penumpang yang berbadan besar duduk diruangan belakang pastinya tidak akan selesa. (Kelihatan macam murah, tidak padan dengan harga kereta ini yang mahal)
- Bagi kegunaan minyak pula, aku diberitahu bagi menggerakkan kereta ini sejauh 1km ianya memerlukan 16sen.
Kesimpulan: Ini yang payah sebenarnya kerana sehingga ke saat ini aku tak tahu mana kereta yang terbaik, kerana setiap kereta menawarkan perasaan yang berbeza ketika pandu ujinya.
Jika aku memilih Honda CRV kerana nilai selepas jualan dan juga keselesaan yang ditawarkannya maka aku terpaksa melupakan gadjet-gadjet yang terkini yang terdapat di dalam jenama kereta yang lain dan yang lebih teruk Honda CRV hanya menawarkan 4 beg udara untuk pemandu dan penumpang hadapan sahaja. Selain itu kegunaan minyak yang agak banyak jika dibandingkan dengan jenama kereta yang lain menyebabkan aku perlu berfikir banyak kali jika benar-benar memilih model ini. (Aku risau jika harga minyak naik lagi).
Dalam banyak-banyak kenderaan yang aku pandu uji ini, aku amat tertarik dengan Ford Kuga dari segi prestasinya enjinnya. Tekan sikit aje pedal minyaknya, 'mencana-canak' dia pergi. Ini kalau nak 'ciluk-ciluk' memang tak jadi masalah. Aku teringat ketika aku pandu VW Golf dulu, prestasi enjin Ford Kuga ini seperti itulah cuma bezanya Ford Kuga ini tinggi dan besar. Kalau aku mementingkan darah muda mungkin inilah kenderaan yang aku pilih, tapi disebabkan aku dah berkeluarga mungkin prestasi bukan lagi keutamaan kerana sekarang ini keselesaan isteri dan anak-anak lebih aku utamakan. Bukan bermakna Ford Kuga ini tidak selesa tapi ada kenderaan lain lagi yang lebih menawarkan keselesaan dan ruangan dalaman yang lebih 'prestige' berbanding apa yang terdapat di dalam Kuga ini.
Jika aku memilih kenderaan yang 'full spec' iaitu gadjet yang perlu ada bagi sebuah SUV sudah pastinya, aku akan memilih Kia Sportage. Selain itu, bagi aku, Kia Sportage ini menawarkan apa yang aku cari iaitu keselesaan, keselamatan, perlindungan kemalangan untuk penumpang belakang dan sedikit prestasi daripada enjinnya. Selain itu, waranti yang ditawarkan selama 5 tahun untuk alat ganti tanpa mengikut 'mileage' juga menjadi penarik kepada keputusan aku tapi aku sebenarnya masih berbelah bahagi kerana aku tahu yang kereta ini di pasaran Malaysia tiada harganya. Kata seorang kawan yang masih terngiang-ngiang di telinga aku ialah "kereta jenama dari Korea ini akan jatuh harga sehingga 60 peratus hanya dalam tempoh 5 tahun".
Bagi isteri aku pula, dia memilih Hyundai Tucson kerana ianya lebih selesa jika dibandingkan dengan Kia Sportage. Disebabkan ini aku menjadi semakin pening untuk memilih yang mana satu yang paling terbaik untuk aku dan keluarga.
Darisudutpandang: Buat semua pembaca yang budiman, jika anda mempunyai pengalaman berhubung dengan kereta-kereta ini, bolehlah sekiranya memberi pandangan anda untuk membantu aku membuat pilihan yang terbaik. Segala pandangan anda, aku ucapkan terima kasih......
Salam... so sekarang mana pilihan?
BalasPadamapa jua simulator atau medium yg di gunakan untuk mengukur kesemua model ini juaranya tetap kuga..pening kepala nk pilih keter?...telan panadol actifast 10 biji pas2 terus pi showroom ford booking kuga
BalasPadamsalam..
BalasPadamdah beli pilihan dihati? yang mana?
saya tengah membuat kaijian juga ni
Crv or tucson? Selesa duduk, minyak per 100km dan kelancaran memotong kenderaan.
BalasPadamTucson or crv, 1)perbandingan seat depan/belakang, mana lebih selesa bila duduk? 2) minyak per 100km? 3) meluncur ketika memotong dan menaiki bukit karak highway..? Yg maner 1?
BalasPadamsubaru dah try?
BalasPadamSo,awak pilih kereta apa ? Sy pun dilema nk pilih skrg '...
BalasPadamCx 5 pilihan saya
BalasPadamSAYA TK PERNAH CUBA JENAMA DI ATAS TAPI SAYA BARU JER REMBAT NISSAN XTRAIL 2.0..PRESTASINYA SEPERTI KIA SPORTAGE AGAK SLOW PADA PERMULAAN TP BILA DAH STABIL SGT MENGAGUMKAN TERUTAMANYA PADA HIGHWAY.FUEL 14.1/KM..CIRI2 SEPERTI YG ADA PD KIA SPORTAGE KEKURANGANYA CUMA ADA 2 AIRBAGE JER, ADA TAMBAHAN SCREEN VIEW 360'..BUAT SAYA SGT TERBAIK..CUBA BUKA YOUTUBE TAIP PANDUUJI KERETA2 YG DISENARAIKAN DI ATAS LIHAT APA KOMEN PEMANDU PROFESIONAL BUAT UJIPANDU..SEHINGGA KOMEN INI TUAN PASTI DAH BELI.. SUV APA PILIHAN TUAN
BalasPadamKIA Sportage pilihan hati. Baru booking.
BalasPadam