Rabu, 11 Februari 2015

Rumpai Miang Mexico, tumbuhan apa tu

Sekarang heboh cerita pasal tumbuhan yang dikenali sebagai "Rumpai Miang Mexico"atau "Parthenium hysterophorus" yang boleh mendatangkan bahaya atau mudarat kepada manusia jika menyentuhnya.

Kepada yang tak tahu atau tidak mengenali tumbuhan ini, berikut adalah gambar tumbuhan tersebut:

Apa itu Rumpai Miang Mexico?  Rumpai Miang Mexico adalah sejenis tumbuhan liar yang berasal dari beberapa negara di Amerika Selatan dan Utara sebelum tersebar ke Asia, Afrika dan Australia. Rumpai ini dikatakan berbahaya kerana boleh memberi kesan yang teruk kepada ekosistem semulajadi, sektor pertanian dan juga ternakan serta menyebabkan alahan kepada manusia.

Tumbuhan ini dipercayai merebak melalui bijirin, jerami, biji benih, kenderaan dan juga jentera yang dicemari biji benih rumpai miang dan mungkin juga melalui haiwan ternakan import.

Tumbuhan ini mampu menghasilkan 100,000 biji benih bagi setiap pokok yang mana setiap satunya mampu bertahan selama 10 tahun jika tertanam di dalam tanah dan mampu untuk tumbuh semula. Anak benih yang tumbuh mampu untuk mengambil alih keseluruhan kawasan.

Tumbuhan ini dikelaskan sebagai rumpai yang berbahaya kerana ia membiak dan merebak dengan cepat serta mengeluarkan bahan kimia yang memberi kesan alelopati, iaitu ia menyekat percambahan dan pertumbuhan pelbagai jenis tanaman seperti pastura, bijirin, sayuran dan rumpai lain. Disebabkan masalah yang dibawa oleh pokok ini, kerajaan India telah melabelkan rumpai ini sebagai 'Worst weed of the Century'.

Mengikut kenyataan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia, bahan kimia yang terdapat pada rumpai Miang Mexico (debunga, bahagian akar, daun dan batang) iaitu parthenin, hymenin dan ambrosin dikenalpasti boleh memberi kesan ke atas kesihatan manusia. Golongan yang berisiko adalah mereka yang terdedah secara langsung dengan “Rumpai Miang Mexico” terutamanya kanak-kanak dan orang tua. Namun begitu, tidak semua yang terdedah mengalami reaksi alahan atau alergi.

Sesetengah orang mengalami gejala apabila pendedahan berterusan dan berulang kali. Gejala daripada tindakbalas alahan adalah seperti ruam kulit, kulit mengelupas, gatal-gatal pada kulit, mata bengkak, dan allergic rhinitis serta gangguan pada sistem pernafasan seperti selsema dan asma.

Antara langkah-langkah yang boleh diambil bagi mengatasi masalah rumpai miang Mexico ini ialah:

1. Mencabut dan memusnahkan rumpai ini sebelum ia berbunga. (perlu menggunakan sarung tangan dan pakaian yang sesuai sebelum kerja dilakukan)
2. Kawalan secara kimia boleh dilaksanakan dengan menggunakan racun rumpai yang mempunyai bahan aktif seperti glyphosate, atrazine atau metribuzin.






Sukarnya mencapai kejayaan

Menonton cerita yang bertajuk 'One Chance' di saluran astro 431, sebuah cerita yang memaparkan betapa untuk mencapai kejayaan perlu menempuh berbagai cabaran serta dugaan dan yang lebih manisnya adalah kejayaan itu dicapai kerana tidak pernah mengalah. Sebenarnya bukan maksud aku untuk mempromosikan cerita ini kerana astro tak membayar sesen pun kepada aku bahkan 'cekik darah' adalah kerana bayaran yang dikenakan sentiasa naik.

Walaupun begitu, cerita ini begitu banyak pengajaran yang boleh kita ambil. Cerita 'One Chance' adalah diolah dari cerita benar yang mengisahkan tentang seorang lelaki yang mencapai kejayaan dengan menjuarai pertandingan 'British Got Talent' pada 2007. Lelaki itu yang bernama Paul Potts bukan sahaja seorang yang gugup kerana pengalaman beliau yang menjadi mangsa buli di sekolah bahkan pernah menjalani pembedahan membuang tiroid yang hampir menghilangkan suaranya.

Bagi mencapai impian untuk menjadi seorang penyanyi, beliau yang meminati penyanyi Pavotti telah nekad untuk ke Itali bagi menimba ilmu nyanyian di sekolah Pavotti tetapi beliau tidak berjaya dalam percubaan untuk menempatkan diri di dalam kelas tersebut. Kecewa dengan kegagalan tersebut menyebabkan beliau tawar hati untuk meneruskan impian beliau menjadi penyanyi.

Beliau mendaftarkan diri untuk menyertai pertandingan 'British Got Talent' secara tidak sengaja kerana kesian dan kasihan kepada isterinya yang terpaksa bekerja keras menampung perbelanjaan keluarga akibat daripada kemalangan yang menimpa dirinya. Kemalangan tersebut menyebabkan tulang selangkanya patah.

Sebenarnya cerita ini amat dekat dengan kita semua. Ada antara kita yang menghadapi berbagai cabaran dan dugaan sebelum mencapai kejayaan. Oleh itu jika sekarang ini kita susah, sakit dan kecewa jangan cepat putus asa. Sebagai orang islam kita harus percaya yang kesakitan, kesusahan dan kekecewaan yang kita tanggung itu adalah ujian daripada Allah buat kita. Apa yang penting kita tidak boleh berputus asa dan mengalah kerana orang yang gagal itu adalah orang yang berputus asa daripada mencuba.

Jom, kita berusaha dan bertawakal......


Sabtu, 7 Februari 2015

Zero: dari kerusi panas menjadi juara MLM 2014

Tahniah dan syabas buat kumpulan Zero kerana muncul juara Maharaja Lawak Mega (MLM) 2014 apabila berjaya mengalahkan otai-otai lawak seperti Sepahtu yang mempunyai ramai peminat.

Berikut adalah keputusan MLM 2014:
Tempat pertama dimenangi oleh kumpulan Zero yang berjaya membawa pulang wang kemenangan sebanyak RM500 ribu.

Tempat ke-2 dimenangi oleh kumpulan Sepahtu yang memenangi wang kemenangan sebanyak RM250 ribu.

Tempat ke-3 dimenangi oleh Nabil yang berjaya membolot hadiah wang kemenangan sebanyak RM125 ribu.

Tempat ke-4 dengan hadiah wang kemenangan sebanyak RM50 ribu pula dimenangi oleh kumpulan Shiro.

Tempat ke-5 yang juga tempat tercorot dimenangi oleh kumpulan Bocey dengan wang sebanyak RM15 ribu yang perlu dikongsi seramai 3 orang.

Pada pendapat aku, memang layak kumpulan Zero menang kerana mereka adalah kumpulan yang paling konsisten sepanjang minggu walaupun ada 2 minggu yang mereka tenggelam.

Kemenangan kumpulan zero juga pada pendapat aku membuktikan yang para pengundi semakin matang dalam membuat undian dengan memilih mereka yang benar-benar layak untuk menang berdasarkan persembahan bukannya berdasarkan populariti individu tersebut.



Selasa, 3 Februari 2015

Maafkan aku kerana aku bukan lelaki sejati

Sebenarnya baru aku tahu bahawa rupa-rupanya aku ini bukan tergolong dalam lelaki sejati, oleh itu tolong maafkan aku ye. Eh! Kenapa pulak macam ni?

Kepada yang mengenali aku dan juga isteri yang membaca artikel aku ini, jangan risau kerana aku tetap lelaki dan tiada niat langsung dan tak pernah terlintas langsung untuk menukar bentuk silinder yang menjadi lambang kelelakian aku selama ini.

Sebenarnya aku sedikit terganggu bila aku membaca satu artikel tentang ciri-ciri seorang lelaki sejati yang ditulis dalam satu blog.

Di dalam blog itu mengariskan beberapa kriteria sebagai lelaki sejati yang menyebabkan aku terfikir, lelaki sejatikah aku ini??

Antara kriteria yang ditanya dalam blog tersebut tentang keupayaan untuk menghamilkan perempuan, adakah ianya menjadi simbol lelaki sejati? Jawapannya tentulah tidak. Sebagai lelaki, aku juga mampu untuk menghamilkan perempuan tetapi rupa-rupanya itu bukannya ciri-ciri lelaki sejati kerana budak yang berumur 13 tahun yang telah akil baligh juga mampu untuk menghamilkan perempuan.

Dan dikatakan juga lelaki sejati itu bukan semestinya hebat diranjang sebagaimana yang selalu dianggap oleh kebanyakan lelaki kerana lelaki yang kurang akal juga kadang kala dapat beraksi amat hebat diranjang.

Jadi apakah dia yang boleh ditakrifkan sebagai lelaki sejati?

Mengikut takrifan blog itu; lelaki sejati seharusnya mampu untuk melindungi wanita dan pasangannya dari bahaya, dan bukannya seorang yang suka memukul wanita atau pasangannya. Lelaki sejatikah jika menunjuk kuat kepada insan yang dikatakan mempunyai fizikal yang lemah?. Kalau nak tunjuk kuat sangat carilah orang yang setanding.

Rasulullah saw bersabda mafhumnya; "Yang terbaik di antara kalian adalah yang bersikap paling baik terhadap isterinya" -riwayat Imam at-Tarmizi dan al-Nasai.

Yang panas baran juga tidak dianggap sebagai lelaki sejati kerana mengikut takrifan blog tersebut lelaki sejati ialah lelaki yang mampu mengawal kemarahan, bertolak ansur dan menahan sabar lebih-lebih lagi terhadap wanita yang menjadi pasangannya.

Dari Abu Hurairah, Rasulullah saw telah bersabda mafhumnya, "Orang yang kuat bukanlah orang yang mampu mengalahkan lawannya. Sesungguhnya orang yang kuat adalah orang yang mampu menguasai dirinya ketika marah." - Riwayat Ahmad, Bukhari dan Muslim.

Selain itu ciri-ciri lelaki sejati juga adalah yang selalu mengambil berat dan menunjukkan kasih sayangnya terhadap pasangannya.

Lelaki sejati juga akan sentiasa menolong dan meringankan beban pasangan dalam menguruskan rumahtangga bak kata pepatah melayu "yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing".

Lelaki sejati juga dikatakan tidak kisah akan kekurangan pasangannya. Apa yang penting baginya ialah membetulkan atau memperbaiki kekurangan itu dengan penuh kasih sayang.

Membuatkan pasangan menyedari kesilapan tanpa sebarang rasa tersinggung atau berkecil hati, itu tanda kelebihan dan kekuatan seorang lelaki sejati.

Lantaran itu, jika anda sedang memilih dan mencari pasangan, carilah lelaki sejati. Hanya lelaki sejati akan memberikan cinta yang sejati.

Aku akui daripada ciri-ciri lelaki sejati ini, banyak yang tidak aku miliki. Dalam usia 39 tahun ini, baru hari ini aku tersedar apa yang sebenarnya sangat penting bagi aku, juga isteri.

Kasihan dia kerana selama ini, suaminya bukanlah lelaki sejati, oleh itu maafkan aku.


Selamat menuju ke usia 40 tahun

Buat rakan-rakan yang lahir pada tahun 75', tahun ini anda dan saya akan menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-40 tahun. Artikel ini saya tujukan khas buat anda dan diri saya sendiri juga kepada yang akan menyambutnya pada masa yang akan datang serta juga yang telahpun berusia 40 tahun lebih, moga artikel ini menjadi satu ingatan buat kita semua.

Teringat kata-kata kawan saya, "jika pada usia 40 tahun, kita masih hidup dalam kemiskinan dan kepayahan maka selamanya kita akan hidup begitu". Sebenarnya begitu dalam maksud apa yang kawan saya katakan. Ianya memberi faham bahawa jika kehidupan kita telah mencecah usia 40 tahun dan kita masih tidak berubah, masih dengan keadaan yang sama, maka kita akan begitu selamanya. Maksud berubah bukan sahaja pada taraf hidup tapi perubahan pada emosi, fizikal perangai, intelektual dan juga spiritual.

Mengapa umur 40 tahun itu penting? Sebenarnya Allah sendiri telah mengingatkan kita dengan firmanNya dalam surah al-Ahqaf ayat 15 yang membawa maksud "Apabila dia telah dewasa dan usianya sampai 40 tahun, ia berdoa, "Ya Tuhanku, tunjukkanlah aku jalan untuk mensyukuri nikmat Engkau yang telah Engkau berikan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku dapat berbuat amal yang soleh yang engkau redhai; berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada Engkau dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang muslim."

Menurut Ibnu Qayyim Al-Jauziyah; usia manusia boleh dikategorikan kepada 4 peringkat iaitu:
1. Peringkat kanak-kanak iaitu semasa lahir hinggalah ke akil baligh.
2. Peringkat muda atau syabab iaitu dari akil baligh hinggalah ke umur 40 tahun.
3. Peringkat dewasa iaitu dari umur 40 tahun hinggalah ke umur 60 tahun.
4. Peringkat tua atau syaikhukhah iaitu dari umur 60 tahun hinggalah meninggal dunia.

Buat sahabat yang mula memasuki umur 40 tahun, jom kita lakukan perubahan ke arah yang lebih baik. Usia 40 tahun ini adalah usia matang untuk kita bersungguh-sungguh dalam hidup, mengumpulkan segala pengalaman, menajamkan hikmah dan kebijaksanaan, membuang kejahilan ketika usia muda, lebih berhati-hati dalam melayari kehidupan, melihat sesuatu dengan hikmah dan penuh penelitian. Di samping itu kita seharusnya:
1. Meningkatkan daya spiritual (Keimanan)
2. Meneguhkan tujuan hidup kita.
3. Memperbanyakkan rasa bersyukur.
4. Menjaga makan dan tidur.
5. Menjadikan rasa kesakitan dan uban sebagai satu peringatan.
6. Beristiqamah dalam ibadah.

Abdullah ibnu Abbas ra. pernah berkata, "Barangsiapa mencapai usia 40 tahun dan amal kebajikannya tidak mantap dan tidak dapat mengalahkan amal keburukannya, maka hendaklah ia bersiap-siap untuk ke neraka."

Imam as-Syafi'i tatkala mencapai usia 40 tahun, beliau berjalan sambil memakai tongkat. Jika ditanya, jawab beliau, "Agar aku ingat bahawa aku adalah musafir. Demi Allah, aku melihat diriku sekarang ini seperti seekor burung yang dipenjara di dalam sangkar. Lalu burung itu lepas bebas di udara, kecuali telapak kakinya saja yang masih tertambat dalam sangkar. Komitmenku sekarang seperti itu juga. Aku tidak memiliki sisa-sisa syahwat untuk menetap tinggal di dunia. Aku tidak berkenan sahabat-sahabatku memberiku sedikitpun sedekah dari dunia. Aku juga tidak berkenan mereka mengingatkanku sedikit pun tentang hiruk pikuk dunia kecuali hal yang menurut syara' lazim bagiku. Di antara aku dan dia ada Allah."

Oleh itu wahai sahabat, jom kita bersama-sama melakukan perubahan dan mendekatkan diri kepada sang pencipta. Kita perlu sedar bahawa kematian itu boleh datang bila-bila masa dan dikatakan malaikat maut itu datang menjenguk kita 70 kali sehari tanpa kita sedari. (sila baca di sini)







10 surah mustajab

Semuanya dengan izin Allah S.W.T. Dengan Istiqamah dan Doa kepada-Nya, InsyaAllah di makbulkan apa yang kita kehendaki. Jom kita amalkan s...