Baru-baru ini Majlis Fatwa Negeri Perlis telah memutuskan, menghisap shisha dan menjualnya adalah haram bagi semua penganut agama Islam. Disusuli pula oleh Majlis Fatwa Negeri Melaka yang memutuskan perkara yang sama. Beberapa negeri juga dijangka mengikuti pengharaman ini. Mungkinkah Majlis Fatwa Kebangsaan juga akan mengambil pendekatan yang sama seperti mereka mengharamkan rokok sebelum ini? Bagaimana pula dengan e-rokok? Sepatutnya ianya juga perlu diharamkan.
Keburukan menghisap shisha adalah lebih teruk daripada keburukan menghisap rokok yang juga telah diharamkan sebelum ini oleh Majlis Fatwa Kebangsaan. Sila rujuk keputusan Majlis Fatwa
di sini.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), amalan menghisap shisha mempunyai risiko kesihatan yang sama seperti merokok atau menggunakan produk tembakau yang lain. Penghisap shisha biasanya menyedut asap sebanyak 50 hingga 200 kali atau selama 20 minit hingga 80 minit yang dianggarkan sebanyak 0.15 liter hingga 1 liter. Mereka yang menghisap rokok pula selalunya menyedut sebanyak 8 hingga 12 kali dan mengambil masa hanya 5 minit hingga 7 minit serta menyedut 0.5 liter hingga 0.6 liter asap.
Persoalannya adalah dengan pengistiharan oleh Majlis Fatwa berhubung pengharaman ini, adakah ia mampu mengubah pengguna terutama dalam masyarakat Islam yang sudah ketagih? Sepertimana yang kita maklum, sebelum ini juga Majlis Fatwa Kebangsaan juga telah mengharamkan rokok pada 23 Mac 1995 tapi kesan pada masyarakat islam tidak berubah bahkan semakin bertambah penggunaannya.
Inilah yang dikatakan kalau sudah ketagih, hukumnya haram pun tolak ketepi, yang penting lepaskan dulu ketagihan dan kekhayalan. Pedulilah dengan apa yang orang kata. Tolak ketepi segala fatwa dan hukumnya serta akibat kepada kesihatan tubuh badan serta orang-orang disekeliling. Walaupun sudah banyak kempen-kempen daripada pihak kerajaan mahupun swasta sehingga sanggup mewajibkan setiap kotak rokok memaparkan kesan daripada merokok namun ianya langsung tidak memberi kesan.
Pihak kerajaan juga telah meluaskan kawasan larangan merokok namun itu semua hanya sebagai hiasan di atas kertas dan sebagai mengisi agenda di Parlimen sahaja. Orang ramai masih kelihatan merokok dikawasan yang diwartakan sebagai larangan merokok seperti di lapangan terbang, kompleks membeli belah, sekolah, stadium, restoran dan sebagainya walaupun disesetengah tempat adalah tempat yang berhawa dingin.
Peraturan dan hukuman tidak mampu untuk mendidik para perokok untuk mematuhi segala peraturan yang ditetapkan kerana tiadanya penguatkuasaan daripada badan yang berwajib. Apalah yang ada pada undang-undang jika operasi penguatkuasaan hanya dilakukan sekali sekala sahaja.
Bagi yang beragama Islam, jika fatwa yang dikeluarkan adalah haram bagi menghisap rokok dan shisha boleh ditolak ketepi, inikan pula denda yang boleh dibayar dengan wang ringgit akibat merokok di tempat awam.
Tidak pernah lagi kita dengar pihak Majlis Agama Islam membuat tangkapan kepada orang islam yang menghisap rokok ini walaupun telah difatwakan haram sejak tahun 1995 lagi. Yang kita dengar adalah tangkapan kepada penganut Islam yang meminum arak, membeli nombor ekor 4D, dan berkhalwat.
Mungkin perokok-perokok yang beragama Islam ini kurang memahami akan fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa ini kerana beranggapan hukum haram itu tidak sama dengan hukum haram bagi memakan daging babi, meminum arak dan berjudi. Walau apapun alasan mereka, tepuk dada tanyalah iman.