Ahad, 16 Jun 2013

Pasca PRU-13: DS Najib Razak kena letak jawatan

Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) telah pun kita ketahui keputusannya. Tahniah buat Barisan Nasional (BN) kerana masih berupaya mempertahankan Putrajaya dan seterusnya dapat mentadbir Malaysia bagi tempoh 5 tahun lagi.

dari sudut pandang, najib razak, letak jawatan, perdana menteriWalau apapun, ini adalah keputusan yang paling teruk dalam sejarah Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya. Sebelum ini kita telah dikejutkan dengan tsunami politik pada PRU-12 yang lalu, yang mana BN hanya memenangi 140 kerusi Parlimen dan kehilangan 5 buah negeri (Kelantan, Kedah, Pulau Pinang Selangor dan Perak (telah dirampas kembali BN apabila ada ADUN yang berpaling tadah)). Ketika ini Perdana Menteri ialah Datuk Seri Abdullah Badawi (kini Tun) yang juga Presiden Barisan Nasional dan juga Presiden Umno. Disebabkan oleh kemerosotan tersebut, DS Abdullah Badawi telah dipaksa untuk meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan juga Presiden Umno. Ini kerana dikatakan beliaulah sebagai punca kepada kekalahan teruk Barisan Nasional.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 pula, skrip yang hampir sama berulang walaupun BN dapat merampas kembali Kedah dan mempertahankan Perak dengan kelebihan 4 DUN manakala di Terengganu pula BN hanya mendapat majoriti 2 DUN, tapi bagi kerusi Parlimen pula BN kehilangan 7 kerusi Parlimen menjadi 133 kerusi. Walaupun tetap mempertahankan 'Putrajaya' tapi prestasi BN semakin merosot.

Dikebanyakan negeri peratus majoriti yang dimenangi oleh calon BN juga mengalami kemerosotan yang ketara. Ini mungkin berpunca daripada kebanyakan para pengundi telah mula menolak Barisan Nasional terutamanya daripada kaum cina.

Sebelum Pru-13, DS Najib telah mengistiharkan bahawa calon yang akan dipilih mewakili parti Umno dalam Pilihanraya Umum adalah calon-calon yang 'winnable candidate' atau calon-calon yang boleh menang. Tapi ternyata selepas nama calon yang diumumkan terdapat penyandang kerusi Dun atau Parlimen tercicir dan digantikan oleh calon yang baru dan ternyata pencaturan itu adalah silap kerana akhirnya calon yang baru itu kalah dalam pilihanraya. Situasi di Terengganu juga sama, yang mana hampir separuh adalah calon-calon yang baru dan ternyata kesilapan strategi ini menyebabkan Terengganu hanya mendapat kelebihan 2 kerusi.

Jika nama-nama yang tercalon ini adalah pilihan DS Najib sendiri, bermakna DS Najib memungkiri janjinya untuk memberikan kemenangan kepada BN dengan calon-calon yang 'winnable candidate'nya. Mungkin juga nama-nama tersebut bukannya daripada DS Najib sendiri tetapi daripada Badan Perhubungan Negeri dan DS Najib hanya merestui sahaja. Jika ini benar berlaku bermakna Badan Perhubungan Negeri ingin mensabotaj perancangan yang dirancang oleh DS Najib dengan mengemukakan calon-calon pilihan mereka sendiri tanpa mengambil kira calon tersebut boleh menang atau tidak.

Jika dilihat kepada prestasi parti komponen di dalam BN, Umno mendapat kembali kepercayaan para pengundi dengan sokongan orang-orang melayu yang kembali menyokong Umno berbanding dengan PRU-12 yang lalu. Namun secara keseluruhannya, sebagai pemimpin tertinggi DS Najib yang dilihat mesra(pro) cina perlu bertanggungjawab kerana strateginya untuk memberikan apa saja yang diminta oleh golongan cina akhirnya memakan dirinya dan partinya kerana hampir 100 peratus  kaum tersebut menolaknya.

Perlu dingat, banyak program atau transformasi telah dijalankan oleh Kerajaan Barisan Nasional selepas DS Najib Razak mengambil alih pemerintahan. Dibawah slogan 1Malaysia, beliau telah memperkenalkan berbagai program bagi memberi bantuan dan kesenangan kepada  rakyat Malaysia. Antaranya ialah Kedai Rakyat 1Malaysia, Klinik 1Malaysia, Perumahan Rakyat 1Malaysia, Bantuan Tayar kepada Pemandu Teksi 1Malaysia, Bantuan Persekolahan RM100, Bantuan Voucher Buku RM200, Bantuan Rakyat 1Malaysia dan banyak lagi.

Namun semua itu tidak dihargai oleh sesetengah rakyat Malaysia. Mereka yang tidak menghargainya mengatakan semua program yang dibuat itu adalah tanggungjawab sebuah kerajaan. Mereka beranggapan jika Pakatan Rakyat membentuk Kerajaan Malaysia juga akan melakukan perkara yang sama bahkan mungkin lebih baik lagi. Entahlah mungkin zaman berubah, cara kempen dan fungsi kerajaan juga perlu berubah. Tidak boleh lagi statik seperti dulu.

Disebalik segala transformasi yang dilancarkan oleh DS Najib Razak untuk menarik kembali sokongan pengundi atau rakyat kepada kerajaan, akhirnya pada PRU-13, terbukti  kebanyakan rakyat Malaysia menolak tranformasi yang dilakukan oleh beliau. Oleh disebabkan itu adalah baik jika DS Najib Razak mengambil pendirian untuk meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan juga Presiden Umno kerana kemerosotan prestasi Barisan Nasional. Kedudukan beliau adalah sama dengan kedudukan Tun Abdullah Badawi yang lalu apabila prestasi Barisan Nasional jatuh merundum.

Mungkin kali ini, DS Najib Razak agak bertuah kerana Tun Mahathir menyebelahi beliau berbanding dengan Tun Abdullah Badawi ketika itu, tetapi alangkah baik jika DS Najib Razak mengambil inisiatif sendiri untuk mengambil tanggungjawab di atas kemerosotan prestasi BN kali ini dengan meletakkan jawatan yang disandangnya.

Jika DS Najib meletakkan jawatannya, siapakah calon yang bakal mengisi jawatan tersebut? Jika mengikut tradisinya, tempat Najib akan diisi oleh Timbalannya tetapi adakah timbalannya dapat meraih sokongan semula daripada rakyat Malaysia? Itu yang perlu kita fikir dan kaji semula. Kalau tidak ianya sama dengan kes Tun Abdullah juga. Kita buang Tun Abdullah jadi Perdana Menteri dan naikkan DS Najib kerana kita percaya yang DS Najib mampu meraih kembali sokongan rakyat tapi hakikatnya semakin teruk. Jadi untuk menggelakkan perkara ini berulang, Umno perlu melakukan transformasi daripada dalam dan lebih penting lantiklah pemimpin yang tidak menjadi liabiliti kepada Umno seperti DS Najib yang menjadi liabiliti kerana peribadinya sendiri yang terpalit dengan isu-isu seperti Altantuya dan juga campur tangan isterinya dalam pentadbiran (walaupun tidak dapat dibuktikan penglibatan Najib dalam kes Altantuya namun pihak pembangkang sentiasa memainkan isu ini bagi menarik sokongan rakyat)

Pemimpin yang memegang kuasa terlalu lama di dalam Umno hendaklah dengan rela hati meletakkan jawatan. Pemimpin yang pernah terpalit dengan isu-isu yang memalukan seperti kes rasuah, mengaut kekayaan untuk diri dan keluarga, kes rogol dan sebagainya juga perlu meletakkan jawatan jika tidak pemimpin ini akan menjadi liabiliti kepada Umno tidak kiralah pemimpin itu mempunyai jawatan yang tinggi dalam Umno. Berilah peluang kepada pemimpin-pemimpin yang baru dan bersih menerajui Umno. Dengan cara itu diharapkan Umno kembali diterima oleh kebanyakan rakyat Malaysia.

Darisudutpandang: Aku bukanlah seorang yang arif dalam politik tetapi aku amat sayangkan Umno yang kini semakin terpinggir dalam arus politik Malaysia dan sesuatu perlu dilakukan bagi menarik kembali sokongan rakyat kepada Umno.

Pakatan rakyat amat berjaya dalam menimbulkan persepsi yang buruk terhadap pemimpin Umno menerusi media sosial manakala bagi pihak Umno sendiri selain dari isu seks tiada apa lagi modal yang boleh digunakan.

Artikel ini aku tulis bukan kerana DS Najib tidak bagus dalam mentadbir Malaysia tetapi sebagai pemimpin besar, beliau perlu meletakkan jawatan dan mengambil tanggungjawab diatas prestasi Umno dan BN yang semakin merosot sepertimana yang dilakukan oleh Tun Abdullah Badawi. Jika beliau tidak meletakkan jawatan bermakna Tun Abdullah lebih bertanggungjawab daripada DS Najib.

   

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

10 surah mustajab

Semuanya dengan izin Allah S.W.T. Dengan Istiqamah dan Doa kepada-Nya, InsyaAllah di makbulkan apa yang kita kehendaki. Jom kita amalkan s...