Ahad, 10 Jun 2012

Kerana emak

Assalamualaikum dan salam sejahtera

Rasanya dah hampir sebulan aku simpan artikel ni kat dalam blog aku..tapi nak buat camner...sibuk sangat sampai tak ada masa nak siapkan.

Hari ini aku bertekad untuk menyiapkan beberapa artikel yang belum siap, insya Allah. Sampai isteri aku ajak kuar pergi beli barang dapurpun aku malas nak pergi sebab semangat aku tengah berkobar-kobar nak update blog .... (Sorry yea sayang.....hehehe. (Nasib baik isteri aku faham...))

Sepertimana yang aku kata sebulan, bermakna sebulan yang lepas lah aku ada balik kampung aku di Kemaman. Saja balik untuk menziarahi emak aku kat kampung sebab aku dah rindu giler dengan mak...

Biasalah emak, kalu anak dia balik mesti dia masak sedap-sedap untuk anak dia..betul tak? Aku dah bagitau kat emak aku siang-siang lagi supaya tak payah masak sedap-sedap sebab aku tengah berdiet. Sebenarnya aku dan isteri aku memang risau sebab setiap kali kita orang balik kampung aku berat badan kita orang memang naik punya 2-3 kilo. 

Tapi emak aku tetap emak aku... dia bantainya masak bermacam-macam jenis makanan...alahai emak...kan anakmu ini tengah berdiet. (Tengok gambar kat bawah..macam-macam ada)

Antara makanan yang dimasak oleh emak aku.
Bila tengok aje makanan ini alamak bestnya sebab ini semua kegemaran aku apatah lagi kalu emak aku yang masak...mesti sedap punya (Aku akui memang emak aku pandai masak, bukan aku aje tau yang puji tapi banyak orang yang makan masakan mak aku ni yang cakap memang sedap)

Korang tau, pada hari tu abis semua diet aku selama ini. Kira makan banyak tul hari tu....termasuklah isteri aku....hehehe.. tapi bukan hari tu aje tau mak aku masak sedap kalu kita orang balik kampung 3 hari, 3 hari lah makan sedap....dan maknanya 3 hari lah tidak berdiet.

Nasi dagang
Kuah nasi minyak.
Kuah nasi dagang ikan tongkol (ikan aye)
Balik aje KL bila masing-masing timbang berat badan semuanya naik...hehehe. Inilah bahananya bila kita orang balik kampung...tapi nak buat macamana, kalu tak makankan takut kecil hati...tak apalah mak, kerana emak tak apa......apa saja untuk emak aku..hehehe.










Resipi Lasagna Daging Trio Garfield


Assalamualaikum dan salam sejahtera

Pada minggu lepas isteri aku telah membuat masakan Itali yang terkenal ini. Bila aku tanya kenapa nama dia trio garfield.... jawab isteri aku sebab dia masak untuk 3 orang garfield kat rumah (termasuk aku)....hehehe. Best giler lasagna ini... sama rasanya macam kat restoran Itali yang pernah aku makan.... kalu tak percaya boleh cuba buat .

Rupanya tak lah berapa cantik tapi rasanya hui..sedap







Bahan-bahan untuk inti
1 peket daging kisar (untuk 4 orang garfield)
3 labu bawang besar (bawang Holland)
1 tin sos prego
1 peket keju mozarella
1 tin cendawan butang
2 biji tomato
5 sudu besar butter
3 sudu besar sos tiram
8 sudu besar sos cili (ikut suka kalu nak pedas tambah lagi)
gula, garam dan perasa (letak ikut suka hati)

Bahan-bahan untuk topping
10 sudu besar tepung gandum
1 biji telur ayam
1/2 kotak susu segar
2 cawan air
secubit garam


Cara-cara nak memasak inti :
1. Mula-mula panaskan kuali,
2. Selepas kuali panas masukkan butter
3. Kemudian tumiskan bawang,
4. Apabila bawang tersebut telah kekuningan, masukkan daging cincang dan tunggu sehingga masak.
5. Langkah seterusnya, masukkan sos prego, sos tiram, sos cili, cendawan dan tomato dan biarkan sehingga kering.

Cara-cara untuk membuat topping

1. Bancuh tepung dengan air, susu dan sedikit garam Pastikan bancuhan tersebut tidak terlalu pekat mahupun cair.
2. Kemudian goreng didalam kuali seperti untuk membuat lempeng. Buat topping ini beberapa keping mengikut kehendak sendiri.


Cara-cara untuk membuat lasagna trio garfield ini adalah seperti berikut:

1. Letakkan topping yang telak dimasak ke dalam loyang / bekas,
2. Kemudian letakkan inti yang telah dimasak tadi di atas topping tadi,
3. Seterusnya letakkan keju mozarella  di atas inti.
4. Langkah seterusnya diulang mengikut berapa lapis yang hendak dibuat.

Seterusnya masukkan ke dalam oven yang telah dipanaskan dengan suhu 200 darjah celsius dan masak dalam tempoh 10 minit. Ini bagi memastikan keju mozarella tadi cair di dalam lasagna. Setelah itu boleh dihidangkan. Selamat mencuba


*kredit untuk isteri aku.......






Jumaat, 8 Jun 2012

Selamat berjuang Harimau Malaya

Assalamualaikum dan salam sejahtera

Pada malam ini satu perlawanan persahabatan antarabangsa antara pasukan bolasepak kita menentang pasukan Singapura akan diadakan di Stadium Jalan Besar, Singapura pada pukul 7:45 malam. Perlawanan ini adalah perlawanan persahabatan bertaraf A yang ketiga buat pasukan negara dan juga perlawanan yang pertama selepas kita disingkirkan oleh Singapura dalam perlawanan kelayakan piala dunia yang lalu.

Selepas kita hanya dimalukan dengan seri 0-0 ketika perlawanan menentang Filipina ditempat sendiri pada minggu lepas, ini adalah peluang terbaik untuk pemain kita membuktikan yang mereka masih lagi lapar untuk mengejar kejayaan. Bagi aku yang menonton perlawanan tersebut di Stadium Shah Alam tempohari merasakan pada malam tersebut kita memang tiada nasib untuk menang, dengan berderet peluang untuk menjaringkan gol tetapi dengan ketangkasan penjaga golnya dan ketumpulan barisan penyerang kita peluang tersebut dinafikan.

Disebalik rangking pasukan  yang sekejap naik dan sekejap turun, Datuk K Rajagobal perlu membuktikan bahawa kedudukan rangking tidak membuktikan apa-apa adalah betul. Kata Datuk, rangking kita jatuh kerana kita tiada perlawanan bertaraf antarabangsa dan pasukan kita masih kuat. Jadi buktikan bahawa kita dapat mengalahkan Singapura malam ini.

Senarai terbaru yang dikeluarkan oleh Fifa, skuad harimau malaya jatuh satu anak tangga ke kedudukan 154 pada tahun ini. Walaupun ianya bukan yang terburuk pada tahun ini selepas berada dikedudukan ke 156 pada April lalu. Dikalangan negara Asia Tenggara, Malaysia yang juga juara bertahan Piala AFF kekal ditempat kelima di belakang Vietnam (98), Thailand (136), Filipina (149) dan Indonesia (151). 

Ayuh Harimau Malaya, buktikan bahawa anda masih lagi mempunyai taring yang tajam bagi membenam lawan malam ini dan malukan Singa ditempat mereka sendiri. Semangat berjuang dan banggakan Tanah Tumpah Darahmu....

Rabu, 6 Jun 2012

Kesesakan jalanraya (Trafik jem)


Assalamualaikum dan salam sejahtera

“Benci betullah asyik ‘trafik jem’ saja” itulah ayat yang biasa kita dengar sewaktu pagi dan petang. Kepada yang duduk di bandar-bandar besar mungkin sudah lali dengan ayat ini. 

Sebenarnya kesesakan jalanraya ini bukan saja berlaku dibandar-bandar besar di bandar kecil juga berlaku misalnya di kampung aku di Kemaman juga mengalami masalah yang sama.
Apa yang menyebabkan berlakunya kesesakan jalanraya? Sebagai seorang yang bekerja dan yang sentiasa menggunakan jalanraya maka aku akan senaraikan faktor-faktor yang boleh menyumbang kepada kesesakan jalanraya ini. 

Selain daripada kereta yang banyak yang berada dijalanraya pada satu-satu masa (ya lah kan  kalau kereta tak banyak macamana pulak berlakunya kesesakan jalanraya) dari pemerhatian aku kesesakan jalanraya berlaku kerana :- 
1. Kesesakan disebabkan oleh kemalangan
Pada kebiasaannya kemalangan adalah penyumbang utama kepada kesesakan jalanraya sebab itu aku letak faktor ini paling atas. Biasanya kalau berlakunya kemalangan ‘dia punya jem’ lain sikit iaitu hampir tak bergerak. Kalau berlaku dilebuhraya bermakna ketiga-tiga lorong tak bergerak...tapi yang aku pelik pulak walaupun kemalangan itu hanya sedikit dan ‘just’ langgar ‘bumper’ aje  dan walaupun telah dialihkan ke lorong kecemasanpun kesesakan pasti berlaku...ramai betul pemandu yang ingin jadi penonton agaknya. 

Lagi satu yang aku pelik ialah walaupun kemalangan berlaku dilorong sebelah tapi jalan yang tak ada kena mengena dengan kawasan kemalangan pun kesesakan juga berlaku...entahlah...jadi aku harapkan bila berlaku kemalangan dan tak terlibat dengan kemalangan tersebut..janganlah pulak memperlahankan kenderaan untuk menonton kejadian lainlah kalau kita orang pertama yang melihat kemalangan dan tidak ada sesiapa yang menolong maka kita wajib berhenti untuk menolong kerana dalam islam, ini termasuk dalam fardhu kifayah.
2. Kesesakan di Plaza Tol
Faktor yang kedua ini 'istimewa' sikit sebab ianya berlaku kepada pemandu-pemandu yang menggunakan lebuhraya saja...yang tak menggunakan lebuhraya tak akan mengalami kesesakan ini. Pada kebiasaannya kesesakan berlaku berhampiran dengan plaza-plaza tol kerana disitu tempat setiap kenderaan 'beratur' untuk membayar tol dan juga mengambil slip tol. 

Pada pemerhatian aku kesesakan ini adalah disebabkan kaunter tol yang sedikit berbanding dengan jumlah kenderaan yang melalui laluan tersebut lebih-lebih lagi kepada pemandu yang menggunakan kaunter tunai yang kebanyakannya hanya ada tiga(3) sahaja disesuatu plaza tol dan ini menyebabkan banyak kenderaan perlu beratur panjang.

Sebenarnya kebanyakan yang mengalami kesesakan ini adalah pemandu-pemandu yang menggunakan kaunter tunai jadi aku amat-amat hairan kenapalah mereka tidak mendapatkan kad 'sentuh dan jalan' (touch n go) atau 'kad pintar' (smart tag) bagi memudahkan perjalanan mereka. Sanggup mereka beratur panjang semata-mata tidak mahu membeli kad elektronik ini...hairan-hairan.

3. Kesesakan di lampu trafik (trafic light)

Kebiasaannya kesesakan berlaku adalah disebabkan lampu trafik yang bertukar warna dari hijau ke merah terlalu cepat. Kadang-kadang baru lepas 3 buah kereta dah bertukar warna ke merah kalau ada yang tengah mengelamun lagilah....buatkan jem bertambah teruk. 

Lampu trafik yang banyak juga disesuatu kawasan juga menyumbang kepada kesesakan. Bayangkanlah jika disepanjang jalan yang jaraknya tak sampaipun 2km tapi lampu trafik ada 3 pasti ianya menambahkan jem. 

Akupun hairanlah kepada orang yang setting lampu ini...kenapalah tak buat bila lampu trafik yang pertama bertukar hijau maka lampu trafik dipersimpangan yang kedua dan ketigapun bertukarlah sekali ke warna hijau barulah perjalanan jadi lancar dan ini dapat mengurangkan kesesakan...tolonglah jurutera di JKR tengok sikit perkara macam ini.......

4. Kesesakan disusur masuk dan keluar jalanraya atau lebuh raya

Faktor yang ke4 ini kebanyakannya berlaku di lebuhraya persekutuan, MRR2 dan sebagainya. Aku amat-amat hairan bagaimanalah mereka yang design jalan ini. Maksud aku bila dah buat jalan susur keluar janganlah pulak didepan tu ada dua hingga tiga simpang lain lagi.. sebab kalau jalan susur keluar ini mula sesak maka ianya akan membawa kesesakan tersebut ke jalan utama. Ini yang biasanya berlaku di jalan yang aku nyatakan di atas. contoh yang paling dekat kepada sesiapa yang lalu jalan MRR2 ini ialah di depan Pandan Indah..susur masuk dan keluar inilah yang menyebabkan kesesakan di MRR2 di kedua-dua arah... lagi aku hairan dengan mereka ini yang mereka bentuk jalan..cubalah kaji dulu aliran trafik sebelum satu-satu keputusan di ambil.... 

Aku rasa disepanjang pemerhatian aku,  terlalu banyak faktor yang menyumbang kesesakan tapi aku rasa inilah faktor-faktor yang menjadi penyumbang terbesar kenapa kesesakan berlaku. Kadang-kadang rimas betul bila berlakunya kesesakan ini, kalau ada jalan lain yang boleh aku elak pasti aku elak walaupun jauh...janji aku tak terjebak dengan kesesakan jalanraya ini. Kalau sistem pengangkutan awam  negara kita sempurna pasti aku dah guna tapi masalahnya hampeh juga..kalau komuter janganlah, langsung tak tepati waktu...mungkin sangkut jem juga kut..hahaha.

P/S: Ada pandangan ...sila beri komen anda

Catatan seorang photographer amatur

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Buat pengetahuan semua, saya bukanlah seorang profesional dalam bidang photography ini cuma seorang yang amat-amat amatur. Dengan berbekalkan kamera Superzoom Canon Powershot SX40 HS berikut adalah gambar-gambar yang diambil dari lensa kamera saya untuk dikongsi buat semua.

Daun betik yang menghijau.

ISO           :  -100
Aperture   :  f/4
Speed       :  1/30sec
 Daun betik yang diambil dengan menggunakan setting untuk mengambil daun.

ISO          :  -100
Aperture  :  f/4
Speed      :  1/80sec


Pokok perhiasan yang diambil sewaktu panas terik.

ISO          : -125
Aperture  :  f/4
Speed      :  1/125sec



Pokok perhiasan yang ditanam ditepi bangunan yang diambil sewaktu panas terik

ISO         :  -125
Aperture :  f/4.5
Speed     :  1/160sec


Pokok bunga ini diambil ketika berada Bukit Frasier.

ISO          : -100
Aperture  : f/5
Speed      : 1/250sec

Pokok yang sama yang diambil

ISO          :  -100
Aperture  :  f/4.5
Speed      :  1/250sec




Seperi yang dikatakan gambar-gambar ini menunjukkan betapa amaturnya saya dalam bidang photography ini. Jika ada yang ingin berkongsi ilmu dengan saya berkenaan dengan photography ini saya amat-amat menghargainya. Sila komen gambar-gambar ini.

Polis dilibas Mat Rempit kritikal



Koperal Mustaghni Tabri yang telah dilibas dengan topi keledar oleh seorang Mat Rempit dibelakang kepalanya dilaporkan sangat kritikal dan memerlukan bantuan mesin hayat. Kejadian ini berlaku ketika beliau sedang melakukan operasi cegah lumba haram di Lorong Bunga Raya berhampian Kampung Raja Uda kira-kira jam 0145 pagi.

Aku amat bersimpati dengan kejadian yang berlaku dan mengharapkan pihak polis berjaya mengesan dan menangkap siapa pelakunya dan kepada keluarga Koperal aku mengharapkan agar mereka bersabar dengan dugaan daripada Allah ini.

Koperal Mustaghni adalah seorang anggota polis yang hanya menjalankan tugasnya untuk negara dan ketika beliau memenuhi tugasnya beliau telah ditimpa kecelakaan. Aku harap kepada sesiapa yang selama ini memperjuangkan keadilan, bersuaralah... jika seorang anggota polis bertindak ganas dengan menendang dan memukul Mat Rempit kamu perjuangkan maka nasib anggota polis ini juga perlu kamu perjuangka dan janganlah 'double standard'

Tapi aku percaya nasib anggota polis ini akan dilupakan dengan pantasnya jika dibandingkan sekiranya yang kena libas itu adalah Mat Rempit. Akan bergemalah dengan pekikak-pekikan mereka yang memperjuangkan si Mat Rempit itu dengan mengatakan polis telah bertindak ganas.

Bagi aku Koperal Mustaghni Tabri adalah wira dan kita juga seharusnya bersimpati dengan keluarga beliau atas apa yang berlaku, jika kita boleh bersimpati dengan Mat Rempit yang ditendang motornya maka anggota polis ini lebih-lebih lah lagi kerana dialah wira. Tanpa polis yang menjaga keamanan dan keselamatan kita selama ini, kita tak akan merasa selamat.

Ya Allah sembuhkan lah hambaMu Koperal Mustaghni ini.









Selasa, 5 Jun 2012

Pengguna dan tanggungjawab


Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Sebagai pengguna di Malaysia kita sebenarnya mempunyai hak kita yang sah dibawah Akta Pelindungan Pengguna. 

Apakah maksud pengguna? Pengguna bermaksud orang yang menggunakan perkhidmatan, barang dan alam sekitar untuk memenuhi keperluan dan kehendak dalam kehidupan. 

Tahukah kita apakah hak dan tanggungjawab kita sebagai pengguna? 

Hak dan tanggungjawab kita sebagai pengguna adalah seperti berikut: 

i)             Hak untuk mendapatkan keperluan asas

Kita sebagai pengguna berhak untuk mendapatkan barang dan perkhidmatan asas bagi menjamin kehidupan yang memuaskan. Keperluan asas termasuk makanan yang mencukupi, tempat tinggal yang selamat, pakaian, kemudahan kesihatan, kemudahan pendidikan dan sebagainya.

ii)            Hak untuk mendapatkan keselamatan

Kita sebagai pengguna dilindungi daripada pemerosesan dan pemasaran barang serta perkhidmatan yang boleh mendatangkan bahaya kepada diri kita.

iii)           Hak untuk mendapatkan maklumat

Kita sebagai pengguna mesti diberi maklumat yang mencukupi dan tepat untuk memudahkan bagi membuat keputusan yang bijak. Kita juga perlu dilindungi daripada dakyah dan pembohongan pengiklanan, pelabelan dan amalan lain yang palsu, penipuan dan penyelewengan.

iv)           Hak untuk membuat pilihan

Kita sebagai pengguna perlu memastikan mendapat maklumat langsung mengenai pelbagai keluaran dan perkhidmatan. Kita perlu diberikan penerangan yang dapat memberi pilihan dalam membuat keputusan. Perlu ada jaminan bagi menentukan mutudan perkhidmatan memuaskan dengan harga yang berpatutan.

v)            Hak untuk bersuara

Kita sebagai pengguna perlu memastikan mendapat pembelaan yang sewajarnya dalam penggubalan dasar kerajaan dan tindakan yang cepat serta saksama daripada sudut pengadilan.

vi)           Hak untuk mendapatkan ganti rugi

Kita sebagai pengguna berhak mendapat penyelesaianuntuk pembeliankeluaran yang cacat atau berbahaya ataupun perihal dagangannya yang mengelirukan serta pampasan bagi perkhidmatan yang menyeleweng atau tidak menepati perjanjian. Ganti rugi harus diberi bagi keluaran atau perkhidmatan yang mengakibatkan kecederaan kepada penggunanya yang menggunakan keluaran atau perkhidmatan itu mengikut arahan pengeluar. Ganti rugi juga wajib diberikan kepada pengguna yang menjadi mangsa akibat kecuaian majikan. 

vii)          Hak untuk mendapatkan pendidikan pengguna

Kita sebagai pengguna berhak untuk mendapat pendidikan pengguna yang mencukupi dan berterusan. Ini kerana sistem pendidikan lazimnya tidak memberi perhatian yang sewajarnya kepada pendidkan pengguna. Falsafah pendidikan pengguna masa ini lebih cenderung untuk melatih pelajar menjadi pekerja atau majikan yang berkesan dan kurang melatih bagaimana hendak menjadi pengguna yang bijak.

viii)         Hak untuk mendapatkan alam sekitar yang sihat dan selamat

Sebagai seorang pengguna, kita berhak hidup dan bekerja dalam alam sekitar yang bersih dan sihat serta bebas daripada sebarang keadaan yang berbahaya. Hak ini perlu diperjuangkan oleh kita kerana kadar pencemaran kian meningkat dan adanya unsur alam semula jadi yang semakin pupus atau dimusnahkan.

Tanggungjawab kita sebagai pengguna

i)             Kesedaran untuk mengkritik

Kita mestilah mempunyai kesedaran untuk mengkritik jika terdapat sebarang penyalahgunaan atau penyelewengan terhadap hak-hak pengguna.

ii)            Tanggungjawab sosial

Kita mesti bertindak dengan penuh tanggungjawab dan kesedaran terhadap masyarakat supaya tindak-tanduk yang diambil tidak menimbulkan kesulitan yang lebih besar.

iii)           Penglibatan dan tindakan

Kita mesti terlibat dan mengambil tindakan yang sewajarnya untuk memastikan hak-hak kita sebagai pengguna diayani dengan adil.

iv)           Tanggungjawab terhadap alam sekitar

Kita seharusnya bertanggungjawab terhadap alam sekitar agar ia dapat dipelihara untuk generasi kita yang akan datang

v)            Bersatu padu

Kita mesti bersatu dan bekerjasama dalam tindakan agar kepentingan kita tidak dapat digugat dengan begitu mudah.

*sumber daripada keselamatan pengguna

Sebenarnya hak-hak kita sebagai pengguna telah terlindung dibawah Akta Perlindungan Pengguna 1999.

Jika terdapat sebarang aduan  mengenai hak anda sebagai pengguna sila hubungi:-
SELANGOR
Ketua Seksyen,
Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia,
Pejabat Perdagangan Dalam Negeri,
Koperasi dan Kepenggunaan,
Tingkat 17, Menara MRCB,
Jln Majlis Seksyen 14,
40622 Shah Alam,
SELANGOR.
TEL:  03-5511 8271 / 5511 4929    
FAKS: 03-5511 6981
KS : SHARIFAH AINI BINTI ABDULLAH 

bagi pengguna di negeri Selangor. Jika pengguna dari negeri lain sila layari laman web kpdnkk





10 surah mustajab

Semuanya dengan izin Allah S.W.T. Dengan Istiqamah dan Doa kepada-Nya, InsyaAllah di makbulkan apa yang kita kehendaki. Jom kita amalkan s...