Ahad, 21 Disember 2014

Siapakah selepas Najib?

Lepak dengan kawan-kawan yang juga orang kuat parti Umno dari Pantai Timur dan juga Utara di sebuah kopitiam, bersembang dari perihal harga minyak, GST, hutang 1MDB hinggalah tentang politik di Malaysia. Antara yang didebatkan ialah siapakah calon yang sesuai menjadi Perdana Menteri (PM) selepas Najib....?

Ada berbagai versi jawapan yang aku dapat serta hujah mereka yang aku ingin kongsikan.

Jom kita lihat pendapat kawan-kawan aku tentang siapakah Perdana Menteri selepas Najib, itupun jika Pakatan Rakyat tidak melakukan 'upset' dalam mana-mana Pilihanraya Umum.

1. Muhyiddin Yasin
Rata-rata kawan-kawan aku mengatakan 'masa' untuk beliau menjadi Perdana Menteri telahpun luput kerana faktor masa dan usia. Sepatutnya pada Pemilihan Agong Umno yang lalu beliau mengambil kesempatan di atas kelemahan dan kegagalan Najib ketika PRU-13 yang lalu untuk membaiki pencapaian Barisan Nasional dengan menawarkan diri untuk bertanding jawatan Presiden Umno. Beliau sepatutnya membentuk satu pasukan dengan Zahid Hamidi bagi merebut jawatan pertama dan kedua parti ketika itu. Kegagalan untuk mengambil kesempatan inilah yang membuatkan peluang beliau untuk menduduki jawatan Perdana Menteri telahpun tertutup rapat. Walau apapun beliau masih berpeluang jika sesuatu berlaku kepada Najib atas kapasitinya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno.

2. Hishamuddin Hussein
Sudah menjadi lumrah dalam Umno, pemimpin yang mempunyai talian dengan pemimpin yang terdahulu mendapat laluan yang mudah untuk mendaki ke puncak. Anak kepada bekas Perdana Menteri Hussein Onn yang juga sepupu kepada Najib ini mungkin akan menjadi Perdana Menteri yang seterusnya seandainya ahli Umno masih mementingkan darah bangsawan dan kaitan 'siapa dia'. Walaupun jika dilihat kepada rekodnya sebagai menteri di beberapa kementerian yang pernah diterajuinya menunjukkan yang beliau tidak layak untuk menjadi Perdana Menteri.

3. Khairi Jamaluddin atau KJ
Menantu bekas Perdana Menteri, Abdullah Badawi ini adalah disebut-sebut sebagai pengganti yang sesuai selepas Najib. Beliau yang dikatakan oleh Tun M sebagai orang yang paling berkuasa semasa di bawah pemerintahan bapa mentuanya adalah seorang yang tidak boleh diketepikan begitu sahaja oleh pemimpin Umno. Dijangkakan jawatan Ketua Pemuda yang perlu dilepaskan selepas ini kerana faktor umur, beliau akan bertanding untuk merebut salah satu kerusi Naib Presiden dan yang pastinya kerusi tersebut akan menjadi milik beliau kerana dikatakan beliau mempunyai pengaruh yang cukup kuat dikalangan pemuda. Cakap-cakap dikalangan ahli Umno mengatakan mereka memberi tempoh 1 penggal sahaja lagi kepada Najib menjadi Perdana Menteri sebelum KJ mengambil alih jawatan tersebut menandakan mereka benar-benar yakin bahawa KJ adalah calon yang sesuai selepas Najib. Dikatakan hanya 'tangan-tangan ghaib' sahaja yang mampu menghalang perjalanan KJ untuk menjadi Perdana Menteri selepas era Najib berakhir.

4. Mukhriz Mahathir
Seorang lagi anak kepada bekas Perdana Menteri yang dilobi hebat oleh ayahnya iaitu Mahathir Mohammad. Beliau yang tewas dalam merebut salah satu kerusi Naib Presiden Umno baru-baru ini dikatakan mampu menidakkan hasrat KJ untuk menjadi Perdana Menteri dengan menggunakan pengaruh Tun M yang masih kuat dalam Umno.

Aku sebenarnya tak bersetuju dengan calon-calon ini kerana aku beranggapan Umno bukanlah parti keluarga atau warisan atau pusaka. Selepas ayahnya kemudian jawatan presiden perlu diwariskan pula kepada anaknya. Bagi aku Umno adalah parti untuk semua orang dan mereka yang mempunyai stail kepimpinan yang tinggi harus diberi peluang yang sama untuk bertanding merebut jawatan presiden. Apa yang menjadi amalan yang sekian lama dalam Umno adalah budaya memberi laluan kepada pemimpin tertentu untuk menjawat jawatan tertentu. Amalan ini yang kononnya diamalkan kerana untuk mengelak perpecahan sebenarnya memakan diri sendiri dalam Umno.

Jika diberi peluang masih ada pemimpin lain dalam Umno yang bukan dari golongan bangsawan apatah lagi mempunyai susur galur pemimpin tapi mereka mempunyai karisma untuk menjadi Presiden Umno dan seterusnya menjadi PM.

Oleh itu, calon-calon lain yang difikirkan sesuai untuk mengambil alih kepimpinan selepas Najib ialah:

1. Zahid Hamidi
Salah seorang daripada Naib Presiden yang mendapat sokongan paling tinggi daripada ahli Umno. Sebelum pemilihan Agong Umno yang lalu beliau dilihat sebagai begitu 'vokal' mempertahankan maruah melayu namun kini mendiamkan diri terhadap fitnah terhadap bangsa melayu dan agama islam. Melepaskan peluang terbaik untuk bergabung dengan Muhyiddin Yasin bagi membentuk team 'B' bagi melawan Najib. Namun begitu pengaruh beliau tidak boleh dipandang ringan.

2. Shafie Afdal
Seorang lagi Naib Presiden Umno yang boleh menggantikan tempat Najib. Beliau yang berasal dari Sabah mungkin boleh dipertimbangkan kerana umum mengetahui bahawa beliau pernah mendapat percalonan yang tertinggi semasa pemilihan parti suatu ketika dulu bagi jawatan Naib Presiden. Faktor sokongan dari akar umbi di Sabah dan juga sokongan di Semenanjung mungkin boleh menjadikan beliau Presiden Umno dan PM yang pertama dari luar Semenanjung.

3. Mustapha Mohammad (To' Pa)
Seorang pemimpin yang mempunyai kredibiliti dan pengetahuan agama yang kuat. Yang menjadi masalahnya ialah masa mungkin tidak lagi menyebelahi To'Pa untuk mengambilalih jawatan dari Najib kerana faktor umur.

4. Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li)
Peluang untuk Ku Li mengantikan tempat Najib jika berada di dalam Umno sudah tertutup rapat. Peluang beliau dikatakan cerah untuk menjadi PM sekiranya Pakatan Rakyat (PR) dapat memenangi Pilihanraya Umum sebagai pengganti Anwar Ibrahim. Ketokohan beliau dikatakan dapat diterima oleh semua parti gabungan di dalam PR. Ceramah beliau berkenaan royalti minyak yang lalu mendapat sambutan yang hangat daripada penyokong PR.

5. Ahmad Shabery Cheek
Dikenali kerana berani berdebat dengan Anwar Ibrahim berkenaan dengan isu minyak. Walaupun kalau dilihat pendebatan tersebut memberi pukulan k.o kepada Ahmad Shabery namun ianya telah menaikkan nama beliau ketika itu yang dilihat sebagai budak hingusan dalam Umno yang berani berdebat dengan Anwar Ibrahim. Bekas pensyarah ekonomi dari Universiti Malaya ini dilihat sebagai pemimpin yang bersih dan tiada isu,   walaupun isu Kpop hampir-hampir memusnahkan imej bersih beliau. Satu kelemahan yang ketara bagi Shabery ialah beliau kelihatan lemah dari segi pentadbiran kerana prinsip beliau yang tidak mencampuri urusan pentadbiran di kementerian sehinggakan pegawai-pegawai dibawah beliau semuanya 'naik tocang'. Di dalam Umno sendiri untuk mencari pemimpin yang sederhana (dikatakan beliau masih tinggal di Apartment lamanya di Kampung Pandan walaupun sudah 2 penggal menjadi Menteri), tiada kepentingan peribadi dan bekerja semata-mata untuk rakyat amatlah susah dan Shabery adalah jawapannya.

6. Idris Haron
Pemimpin muda yang kini menjadi Ketua Menteri Melaka mempunyai masa depan yang cerah dalam politik jika beliau dapat membuktikan kepimpinan beliau dalam mentadbir negeri.

DSP: Semasa era Mahathir Mohammad menjadi Perdana Menteri dahulu, masalah pengganti beliau juga pernah diutarakan dan dibahaskan tetapi pada masa itu terdapat seorang calon yang terbaik untuk menggantikan beliau iaitu Anwar Ibrahim. Selepas Anwar dipecat dari Umno, barulah terdapat jurang yang besar dalam memilih siapa selepas Mahathir.

Amalan dalam Umno yang suka 'cantas-mencantas' sebenarnya yang menjadikan tiada pemimpin pelapis yang sesuai menggantikan pemimpin yang sedia ada. Amalan ini bermula di peringkat   cawangan lagi sehinggalah ke peringkat atasan. Kata kawan aku, "Seorang ketua tidak suka orang bawahannya lebih pandai daripada dia, jika tidak habis dicantasnya. Mereka lebih suka orang bawah yang menjadi tukang angguk sahaja dengan kata lain mereka ini suka jika orang bawahan mereka bodoh seperti mereka" kata kawan aku ini lagi. Ada kebenarannya kerana kalau dilihat dalam umno tidak ramai golongan profesional yang menganggotai parti ini, yang ramai adalah daripada golongan businessman dan juga sebilangan kecilnya adalah peguam.

Bagi aku begitu ramai calon yang boleh diketengahkan sebagai pengganti kepada Najib tetapi berapa keratkah daripada mereka yang benar-benar layak menjadi Perdana Menteri. Hanya masa sahaja yang menjadi penghalangnya .


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

10 surah mustajab

Semuanya dengan izin Allah S.W.T. Dengan Istiqamah dan Doa kepada-Nya, InsyaAllah di makbulkan apa yang kita kehendaki. Jom kita amalkan s...