Selasa, 3 Februari 2015

Selamat menuju ke usia 40 tahun

Buat rakan-rakan yang lahir pada tahun 75', tahun ini anda dan saya akan menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-40 tahun. Artikel ini saya tujukan khas buat anda dan diri saya sendiri juga kepada yang akan menyambutnya pada masa yang akan datang serta juga yang telahpun berusia 40 tahun lebih, moga artikel ini menjadi satu ingatan buat kita semua.

Teringat kata-kata kawan saya, "jika pada usia 40 tahun, kita masih hidup dalam kemiskinan dan kepayahan maka selamanya kita akan hidup begitu". Sebenarnya begitu dalam maksud apa yang kawan saya katakan. Ianya memberi faham bahawa jika kehidupan kita telah mencecah usia 40 tahun dan kita masih tidak berubah, masih dengan keadaan yang sama, maka kita akan begitu selamanya. Maksud berubah bukan sahaja pada taraf hidup tapi perubahan pada emosi, fizikal perangai, intelektual dan juga spiritual.

Mengapa umur 40 tahun itu penting? Sebenarnya Allah sendiri telah mengingatkan kita dengan firmanNya dalam surah al-Ahqaf ayat 15 yang membawa maksud "Apabila dia telah dewasa dan usianya sampai 40 tahun, ia berdoa, "Ya Tuhanku, tunjukkanlah aku jalan untuk mensyukuri nikmat Engkau yang telah Engkau berikan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku dapat berbuat amal yang soleh yang engkau redhai; berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada Engkau dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang muslim."

Menurut Ibnu Qayyim Al-Jauziyah; usia manusia boleh dikategorikan kepada 4 peringkat iaitu:
1. Peringkat kanak-kanak iaitu semasa lahir hinggalah ke akil baligh.
2. Peringkat muda atau syabab iaitu dari akil baligh hinggalah ke umur 40 tahun.
3. Peringkat dewasa iaitu dari umur 40 tahun hinggalah ke umur 60 tahun.
4. Peringkat tua atau syaikhukhah iaitu dari umur 60 tahun hinggalah meninggal dunia.

Buat sahabat yang mula memasuki umur 40 tahun, jom kita lakukan perubahan ke arah yang lebih baik. Usia 40 tahun ini adalah usia matang untuk kita bersungguh-sungguh dalam hidup, mengumpulkan segala pengalaman, menajamkan hikmah dan kebijaksanaan, membuang kejahilan ketika usia muda, lebih berhati-hati dalam melayari kehidupan, melihat sesuatu dengan hikmah dan penuh penelitian. Di samping itu kita seharusnya:
1. Meningkatkan daya spiritual (Keimanan)
2. Meneguhkan tujuan hidup kita.
3. Memperbanyakkan rasa bersyukur.
4. Menjaga makan dan tidur.
5. Menjadikan rasa kesakitan dan uban sebagai satu peringatan.
6. Beristiqamah dalam ibadah.

Abdullah ibnu Abbas ra. pernah berkata, "Barangsiapa mencapai usia 40 tahun dan amal kebajikannya tidak mantap dan tidak dapat mengalahkan amal keburukannya, maka hendaklah ia bersiap-siap untuk ke neraka."

Imam as-Syafi'i tatkala mencapai usia 40 tahun, beliau berjalan sambil memakai tongkat. Jika ditanya, jawab beliau, "Agar aku ingat bahawa aku adalah musafir. Demi Allah, aku melihat diriku sekarang ini seperti seekor burung yang dipenjara di dalam sangkar. Lalu burung itu lepas bebas di udara, kecuali telapak kakinya saja yang masih tertambat dalam sangkar. Komitmenku sekarang seperti itu juga. Aku tidak memiliki sisa-sisa syahwat untuk menetap tinggal di dunia. Aku tidak berkenan sahabat-sahabatku memberiku sedikitpun sedekah dari dunia. Aku juga tidak berkenan mereka mengingatkanku sedikit pun tentang hiruk pikuk dunia kecuali hal yang menurut syara' lazim bagiku. Di antara aku dan dia ada Allah."

Oleh itu wahai sahabat, jom kita bersama-sama melakukan perubahan dan mendekatkan diri kepada sang pencipta. Kita perlu sedar bahawa kematian itu boleh datang bila-bila masa dan dikatakan malaikat maut itu datang menjenguk kita 70 kali sehari tanpa kita sedari. (sila baca di sini)







Tiada ulasan:

Catat Ulasan

10 surah mustajab

Semuanya dengan izin Allah S.W.T. Dengan Istiqamah dan Doa kepada-Nya, InsyaAllah di makbulkan apa yang kita kehendaki. Jom kita amalkan s...