Sebenarnya aku sedikit terganggu bila aku membaca satu artikel tentang ciri-ciri seorang lelaki sejati yang ditulis dalam satu blog.
Di dalam blog itu mengariskan beberapa kriteria sebagai lelaki sejati yang menyebabkan aku terfikir, lelaki sejatikah aku ini??
Antara kriteria yang ditanya dalam blog tersebut tentang keupayaan untuk menghamilkan perempuan, adakah ianya menjadi simbol lelaki sejati? Jawapannya tentulah tidak. Sebagai lelaki, aku juga mampu untuk menghamilkan perempuan tetapi rupa-rupanya itu bukannya ciri-ciri lelaki sejati kerana budak yang berumur 13 tahun yang telah akil baligh juga mampu untuk menghamilkan perempuan.
Dan dikatakan juga lelaki sejati itu bukan semestinya hebat diranjang sebagaimana yang selalu dianggap oleh kebanyakan lelaki kerana lelaki yang kurang akal juga kadang kala dapat beraksi amat hebat diranjang.
Jadi apakah dia yang boleh ditakrifkan sebagai lelaki sejati?
Mengikut takrifan blog itu; lelaki sejati seharusnya mampu untuk melindungi wanita dan pasangannya dari bahaya, dan bukannya seorang yang suka memukul wanita atau pasangannya. Lelaki sejatikah jika menunjuk kuat kepada insan yang dikatakan mempunyai fizikal yang lemah?. Kalau nak tunjuk kuat sangat carilah orang yang setanding.
Rasulullah saw bersabda mafhumnya; "Yang terbaik di antara kalian adalah yang bersikap paling baik terhadap isterinya" -riwayat Imam at-Tarmizi dan al-Nasai.
Yang panas baran juga tidak dianggap sebagai lelaki sejati kerana mengikut takrifan blog tersebut lelaki sejati ialah lelaki yang mampu mengawal kemarahan, bertolak ansur dan menahan sabar lebih-lebih lagi terhadap wanita yang menjadi pasangannya.
Dari Abu Hurairah, Rasulullah saw telah bersabda mafhumnya, "Orang yang kuat bukanlah orang yang mampu mengalahkan lawannya. Sesungguhnya orang yang kuat adalah orang yang mampu menguasai dirinya ketika marah." - Riwayat Ahmad, Bukhari dan Muslim.
Selain itu ciri-ciri lelaki sejati juga adalah yang selalu mengambil berat dan menunjukkan kasih sayangnya terhadap pasangannya.
Lelaki sejati juga akan sentiasa menolong dan meringankan beban pasangan dalam menguruskan rumahtangga bak kata pepatah melayu "yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing".
Lelaki sejati juga dikatakan tidak kisah akan kekurangan pasangannya. Apa yang penting baginya ialah membetulkan atau memperbaiki kekurangan itu dengan penuh kasih sayang.
Membuatkan pasangan menyedari kesilapan tanpa sebarang rasa tersinggung atau berkecil hati, itu tanda kelebihan dan kekuatan seorang lelaki sejati.
Lantaran itu, jika anda sedang memilih dan mencari pasangan, carilah lelaki sejati. Hanya lelaki sejati akan memberikan cinta yang sejati.
Aku akui daripada ciri-ciri lelaki sejati ini, banyak yang tidak aku miliki. Dalam usia 39 tahun ini, baru hari ini aku tersedar apa yang sebenarnya sangat penting bagi aku, juga isteri.
Kasihan dia kerana selama ini, suaminya bukanlah lelaki sejati, oleh itu maafkan aku.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan