Ahad, 20 Mei 2012

Annuar Musa, Red Warrior dan industri sukan

Assalamualaikum dan salam sejahtera

Sebelum terlambat aku nak ucapkan tahniah buat pasukan Kelantan (the Red Warrior) yang telah memenangi piala FA setelah berjaya mengalahkan pasukan berstatus kelab iaitu Sime Darby semalam.
Sebenarnya aku amat kagum dengan pasukan Kelantan yang juga dikenali dengan panggilan Red Warrior ini yang sentiasa konsisten dalam setiap perlawanan yang mana pada tahun ini juga berjaya muncul untuk tahun yang kedua diperlawanan akhir piala FA (pada tahun lepas muncul sebagai naib johan setelah kalah dengan pasukan Terengganu). Sebagai makluman juga bahawa pasukan Kelantan sehingga setakat ini berada di kedudukan kedua selepas Lions XII di dalam Liga Super dan juga telah melayakkan diri ke pusingan kedua Piala AFC.

Sebenarnya aku tidaklah mahu berbicara banyak tentang Red Warrior ini tetapi apa yang aku ingin sentuh adalah orang disebalik kejayaan Red Warrior ini dan orang tersebut adalah Tan Sri Annuar Musa yang juga bekas Presiden KAFA yang juga bekas Timbalan Presiden FAM (Tan Sri dikenakan hukuman selama 2 tahun dan 6 bulan (30 bulan) kerana mengkritik pasukan bolasepak Kebangsaan).
Aku sebenarnya agak kagum dengan cara pentadbiran Tan Sri Anuar Musa semasa beliau menjadi presiden KAFA yang mana beliau telah menukar hampir 100 peratus corak pentadbiran KAFA iaitu daripada Persatuan Bolasepak Kelantan yang memerlukan hampir 100 peratus dana bantuan daripada Kerajaan Negeri ke arah sebuah persatuan yang menjana keuntungan daripada jualan berbagai barangan yang berasaskan bolasepak seperti baju 'the Red Warrior', bendera dan sebagainya.

Prestasi yang konsisten yang ditunjukkan oleh pasukan bolasepak negeri maka KAFA tidak menghadapi masalah untuk mengumpulkan para peminat dan penyokong dibelakangnya. Jika kita melihat setiap kali pasukan negeri ini beraksi pasti stadium akan hampir penuh dibanjiri dengan lautan merah yang menjadi 'trademark' bagi pasukan negeri Kelantan ini baik jika mereka bermain di Stadium Sultan Muhammad atau di tempat lawan dan ini pastinya memberi sedikit kelebihan kepada mereka dari segi kutipan tiket.

Tan Sri Annuar telah dapat melihat bahawa sukan sebagai suatu industri yang boleh membawa keuntungan yang berlipat kali ganda sepertimana yang telah menjadi tagline di Kementerian Belia dan Sukan yang diilhamkan oleh Menterinya iaitu Dato' Sri Ahmad Shabery Cheek. Sukan jika diuruskan dengan baik dan diterajui oleh pemimpin yang kreatif pasti ianya akan dapat menjana keuntungan lebih-lebih lagi sukan bolasepak yang menjadi sukan nombor satu negara.

Jika kita lihat sekarang ini dibaju pemain hampir penuh nama-nama penaja yang menaja pasukan 'the Red Warrior' ini terdapat lapan penaja yang menaja pasukan Kelantan ini iaitu dari Syarikat Telekomunikasi, Happy hinggalah kepada Universiti Masterskill dan penaja-penaja yang lain.

Kebanyakan pasukan bolasepak negeri selain daripada Kelantan masih lagi memerlukan bantuan dana dari kerajaan negeri bagi membiayai gaji dan perjalanan pemain. Aku difahamkan yang setiap pasukan yang bertanding perlu mengeluarkan geran sebanyak RM3 juta sebagai pembiayaan pasukan dan duit tersebut kebanyakannya datang dari kerajaan negeri masing-masing. Aku amat hairan setelah berpuluh tahun kita menukar status liga kita daripada amatur kepada liga profesional tapi kewangan masih memerlukan bantuan daripada kerajaaan negeri masing-masing. Mana tahap profesionalnya jika macam itu.

Aku mengharapkan agar setiap pasukan bolasepak negeri perlu mencontohi pasukan negeri Kelantan dari segi  menjana pendapatan dan setiap Presiden pasukan bolasepak negeri perlu belajar dengan Tan Sri Anuar Musa dari segi kemampuan menarik penaja-penaja untuk menaja pasukan anda dan barulah matlamat menjadikan sukan suatu industri tercapai.

Renung-renungkan lah......

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

10 surah mustajab

Semuanya dengan izin Allah S.W.T. Dengan Istiqamah dan Doa kepada-Nya, InsyaAllah di makbulkan apa yang kita kehendaki. Jom kita amalkan s...